IPOH: Seorang lelaki maut manakala lima anggota keluarganya cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam tiga meter di Batu 21, Jalan Tapah - Cameron Highlands, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.43 malam.
Advertisement
Menurutnya, setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kenderaan tersebut telah terjatuh ke dalam sungai yang cetek dan berada dalam keadaan terbalik.
Katanya, terdapat enam orang mangsa yang menaiki kenderaan tersebut, lima orang mengalami kecederaan manakala pemandu yang berumur 44 tahun disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, mangsa yang cedera ialah seorang wanita berumur 48 tahun, dua remaja perempuan berusia 19 dan 17 tahun serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 9 dan 6 tahun.
Beliau berkata, ketua operasi dimaklumkan bahawa kesemua mangsa sedang dalam perjalanan ke Cameron Highlands dari Kuala Lumpur bagi menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.
Ketua operasi juga dimaklumkan bahawa kelima-lima mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan manakala pemandu dilaporkan tersepit.
Menurut Sabarodzi, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota untuk menganjakkan tempat duduk mangsa dan menggunakan stretcher untuk mengeluarkan mangsa.
Menurutnya, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri, dibawa naik ke atas dan diperiksa oleh pegawai perubatan KKM yang hadir.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM manakala mayat mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang melibatkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Ringlet tamat jam 11.02 malam.
Video kemalangan yang berlaku itu turut tular di media sosial sejak malam tadi.