Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Ketua PBB gesa AS, Iran teruskan rundingan

United Nations Secretary-General Antonio Guterres speaks during a United Nations Security Council meeting, after the U.S. and Israel launched strikes on Iran, at the U.N. headquarters in New York City, U.S. February 28, 2026. REUTERS/Heather Khalifa
Memandangkan perbezaan yang ketara, perjanjian tidak dapat dicapai dalam tempoh singkat, Guterres menggesa rundingan itu diteruskan supaya persetujuan dapat dicapai. - Gambar fail Reuters

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran diteruskan, kata jurucakapnya pada Isnin, lapor Xinhua.

Walaupun tiada sebarang persetujuan dicapai dalam rundingan yang dihoskan Pakistan antara AS dan Iran di Islamabad, perbincangan itu sendiri menunjukkan kesungguhan kedua-dua pihak dan merupakan langkah positif serta bermakna ke arah memperbaharui dialog, kata jurucakap itu, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Advertisement

“Memandangkan perbezaan yang ketara, perjanjian tidak dapat dicapai dalam tempoh singkat dan Setiausaha Agung menggesa rundingan itu diteruskan supaya persetujuan dapat dicapai,” katanya.

Selepas berminggu-minggu kemusnahan dan penderitaan, jelas bahawa tiada penyelesaian ketenteraan bagi konflik semasa, kata jurucakap itu.

Pada masa sama, gencatan senjata mesti dipelihara sepenuhnya dan semua pelanggaran mesti dihentikan, kata Dujarric.

Setiausaha Agung itu turut menegaskan, semua pihak yang terlibat dalam konflik ini mesti menghormati kebebasan pelayaran termasuk di Selat Hormuz, selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Gangguan terhadap perdagangan maritim melalui Selat Hormuz telah memberi kesan langsung melangkaui rantau itu, dengan peningkatan kerapuhan ekonomi global serta ketidaktentuan dalam banyak sektor, kata jurucakap itu.

Gangguan terhadap bekalan baja dan inputnya pula memburukkan lagi ketidakjaminan makanan bagi jutaan penduduk rentan di seluruh dunia, selain kos sara hidup yang semakin meningkat ekoran kesan terhadap bahan api, pengangkutan dan gangguan rantaian bekalan, katanya.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video