Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: 'Pembunuhan Larijani jejas saluran diplomasi untuk tamatkan perang'

41768517338_AliLarijani.jpg
Parsi berkata walaupun kehilangan Larijani adalah signifikan, ia tidak akan menjejaskan kemampuan Iran meneruskan perang. - Foto fail/AP

DOHA: Seorang penganalisis hal ehwal serantau memberi amaran bahawa pembunuhan Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Larijani, berpotensi melemahkan saluran diplomatik bagi menamatkan konflik yang semakin memburuk di rantau tersebut.

Menurut Trita Parsi, ahli analisis kanan di Quincy Institute, kenyataan itu disampaikan melalui satu kemas kini dalam laporan langsung Al Jazeera yang merangkumi perkembangan terkini perang Iran-AS-Israel.

Advertisement

Parsi berkata Larijani memainkan peranan yang “sangat kritikal” sebagai pengerusi Majlis Keselamatan Negara Tertinggi (SNSC), bukan sebagai penentu dasar tunggal tetapi sebagai “pencipta konsensus utama” yang sering menyatukan pelbagai institusi dan fraksi politik dalam sistem Iran.

“Beliau bukan semata-mata pembuat keputusan, tetapi individu yang memastikan konsensus dicapai dalam sistem itu,” kata Parsi.

Parsi menambah bahawa kepimpinan Iran sudah menjangka risiko pembunuhan tokoh utama sejak perang 12 hari pada Jun lalu, menyebabkan mereka menyediakan pengganti bagi semua jawatan penting sebagai langkah berjaga-jaga daripada serangan ‘serangan menyasarkan kepimpinan’ oleh Israel.

Beliau menegaskan bahawa walaupun kehilangan Larijani adalah signifikan, ia tidak akan menjejaskan kemampuan Iran meneruskan perang, kerana struktur kuasa negara itu bersifat institusi dan tidak bergantung kepada seorang individu.

Walau bagaimanapun, Parsi menekankan bahawa kehilangan tokoh seperti Larijani mengurangkan pihak yang berpengaruh dan mampu membawa keseluruhan struktur Iran ke meja rundingan.

“Mereka yang mempunyai keupayaan membawa seluruh sistem bersama sedang dihapuskan melalui siri pembunuhan ini.

“Sama ada disengajakan atau tidak, kesannya ialah ia menyukarkan usaha mencari jalan keluar daripada perang,” katanya.

Menurut beberapa pemerhati, tanpa tokoh yang boleh memainkan peranan perantara atau penyelaras dalaman, sebarang proses diplomasi mungkin mengambil masa lebih lama dan menjadi lebih tidak menentu.

Dalam masa sama, ketiadaan tokoh moderat atau konsensus seperti Larijani berpotensi menguatkan elemen lebih keras dalam sistem keselamatan Iran, seterusnya menjadikan usaha mengurangkan ketegangan semakin mencabar.

 

Must Watch Video