RIYADH: Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi membincangkan perkembangan semasa di rantau Asia Barat serta implikasinya terhadap keselamatan serantau dan antarabangsa.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), Putera Mohammed menegaskan keperluan untuk mengutamakan dialog dan usaha mengurangkan ketegangan bagi membuka ruang kepada penyelesaian diplomatik.
Beliau turut menekankan kepentingan mengambil segala langkah yang mampu membantu mewujudkan suasana lebih tenang, sekali gus memelihara keselamatan dan kestabilan rantau berkenaan serta mengelakkan konflik yang lebih meluas.
Menurut Putera Mohammed, pendekatan berasaskan dialog dan diplomasi penting bagi memastikan sebarang pertikaian dapat diselesaikan secara aman tanpa menjejaskan kestabilan serantau dan antarabangsa.
Perbualan itu berlangsung ketika usaha diplomatik antarabangsa dipergiat bagi meredakan ketegangan melibatkan Iran.
Pada hari yang sama, Trump mengumumkan AS dan Israel akan menangguhkan rancangan serangan baharu terhadap Iran sementara rundingan ke arah perjanjian damai diteruskan.
Selain isu serantau, kedua-dua pemimpin turut meneliti hubungan kerjasama sedia ada antara Arab Saudi dan AS serta membincangkan langkah untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.