MANILA: Rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan kini mencapai hampir 90 peratus persetujuan, namun beberapa isu sensitif masih memerlukan penyelarasan sebelum dokumen itu dapat dimuktamadkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata Malaysia selaku negara penyelaras hubungan ASEAN-China mempunyai tanggungjawab untuk membantu memastikan rundingan berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin selepas sasaran tempoh rundingan selama tiga tahun yang dipersetujui sebelum ini berakhir tahun ini.
"Sebahagian besar terma, perenggan dan perkara yang digunakan dalam dokumen COC sudah dibincangkan dan dipersetujui secara bersama oleh negara-negara terbabit.
"Bagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan keputusan politik kerana terdapat perkataan atau peruntukan yang dianggap sensitif oleh sesetengah negara, meskipun tidak menjadi isu kepada negara lain," katanya pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, di sini, pada Sabtu.
Menurut Mohamad, perkara itu memerlukan penyelarasan persefahaman antara negara terbabit dalam rundingan supaya perbezaan pendirian dapat ditangani sebelum dokumen berkenaan dimuktamadkan.
Beliau berkata Malaysia yakin proses rundingan itu dapat diteruskan dan usaha akan dipergiat bagi memastikan COC dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.