BANGKOK: Pasukan pencarian khas dilaporkan gagal mengesan tiga kru warga Thailand yang hilang selepas kapal kargo Mayuree Naree terkena serangan projektil di Selat Hormuz pada 11 Mac lalu.
Maklumat terbaharu itu disahkan oleh pemilik kapal, Precious Shipping Plc, selepas pasukan pakar menaiki kapal berkenaan untuk operasi pencarian.
Advertisement
Tiga kru terbabit — Kiattisak Pawaphuchakae, Panupong Muentaen, dan Chawalit Chaiyawong — dipercayai terperangkap di ruang enjin di bahagian buritan, iaitu lokasi utama letupan dan kebakaran tercetus setelah dua projektil menghentam kapal tersebut.
Rakaman daripada pihak Tentera Laut Thailand sebelum ini menunjukkan bahagian belakang kapal dipenuhi asap tebal ketika kejadian.
Operasi pencarian berdepan kesukaran disebabkan kerosakan teruk, asap, haba tinggi serta limpahan air di ruang enjin.
Kapal kargo seberat 30,000 dwt itu akhirnya hanyut dan terkandas di pesisir Pulau Qeshm, Iran, selepas sistem kuasa dan enjinnya lumpuh.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Panidol Patchimsawat, berkata pihak berkuasa sentiasa berhubung dengan Iran dan Oman untuk memudahkan misi menyelamat sejak hari pertama kejadian.
Daripada keseluruhan 23 kru, seramai 20 orang telah berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut Oman dan dihantar pulang ke Thailand pada 16 Mac lalu.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, mendakwa kapal berkenaan mengabaikan amaran ketika melalui laluan strategik itu.
Laporan antarabangsa menyatakan insiden ini merupakan sebahagian siri serangan yang berlaku susulan ketegangan meningkat di rantau tersebut sejak akhir Februari.
Bangkok kini menggesa siasatan telus dilakukan serta meminta semua pihak menghormati undang‑undang maritim antarabangsa bagi menjamin keselamatan pelaut di kawasan konflik.