Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump umum gantung sementara ‘Project Freedom’

Vessels in the Strait of Hormuz near Bandar Abbas, Iran, May 4, 2026./ Reuters
Kapal-kapal dagang kelihatan di Selat Hormuz berhampiran Bandar Abbas, Iran, laluan perairan strategik dunia di tengah konflik berterusan pada 4 Mei 2026. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan, beliau akan menggantung sementara “Project Freedom”, usaha ketenteraan AS bagi mengiringi kapal dagang keluar dari Selat Hormuz, hanya sehari selepas operasi itu dimulakan.

Menurut Trump dalam satu hantaran di Truth Social, keputusan itu dibuat, antara lain, berikutan “kemajuan besar telah dicapai ke arah perjanjian lengkap dan muktamad” dengan Iran.

Kata beliau, Project Freedom “akan digantung untuk tempoh singkat bagi melihat sama ada perjanjian itu dapat dimuktamadkan dan ditandatangani”.

“Berdasarkan permintaan Pakistan dan negara-negara lain, kejayaan ketenteraan besar yang kami capai dalam kempen terhadap Iran serta hakikat bahawa kemajuan besar telah dicapai ke arah perjanjian lengkap dan muktamad dengan wakil Iran, kami bersetuju secara bersama bahawa sementara sekatan akan kekal dikuatkuasakan sepenuhnya, Project Freedom (pergerakan kapal melalui Selat Hormuz) akan digantung untuk tempoh singkat bagi melihat sama ada perjanjian itu dapat dimuktamadkan dan ditandatangani,” tulis Trump dalam hantaran itu.

Susulan pengumuman berkenaan, niaga hadapan pasaran saham dilaporkan meningkat, sekali gus mencetuskan harapan terhadap perjanjian damai yang berpotensi menamatkan perang Amerika Syarikat–Israel di Iran serta membuka semula Selat Hormuz yang penting dari segi ekonomi.

Terdahulu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, fasa pertempuran dalam operasi Amerika Syarikat terhadap Iran yang dilancarkan pada Februari telah berakhir, dan Washington kini memberi tumpuan kepada operasi baharu bagi mengiringi pergerakan kapal melalui Selat Hormuz. - Agensi

Must Watch Video