Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump umum wakil AS ke Islamabad untuk pusingan kedua rundingan

U.S. President Donald Trump gestures during a roundtable focused on tax cuts in Las Vegas, Nevada, U.S., April 16, 2026. REUTERS/Evan Vucci
Trump turut mengulangi bahawa Washington menawarkan satu perjanjian yang disifatkannya sebagai adil dan munasabah kepada Tehran. - Gambar fail/Reuters

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan bahawa wakilnya akan berlepas ke Islamabad bagi mengadakan rundingan dengan Iran dalam usaha meredakan ketegangan antara mereka.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata delegasi negara itu dijangka tiba di ibu negara Pakistan itu menjelang petang Isnin, namun tidak memperincikan pegawai yang akan dihantar bagi pusingan kedua rundingan tersebut.

Advertisement

Trump turut mengulangi bahawa Washington menawarkan satu perjanjian yang disifatkannya sebagai adil dan munasabah kepada Tehran.

"Kami menawarkan perjanjian yang 'sangat adil dan munasabah'. Jika mereka tidak menerimanya, AS akan memusnahkan setiap loji tenaga dan setiap jambatan di Iran," katanya menerusi platform tersebut pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, Trump menuduh Iran melanggar gencatan senjata selama dua minggu yang dijadual tamat pada Rabu, dengan mendakwa negara itu melepaskan tembakan di Selat Hormuz pada Sabtu.

Beliau mendakwa penutupan laluan tersebut memberi kerugian besar kepada Iran, dianggarkan mencecah AS$500 juta sehari, manakala AS didakwa tidak terjejas dan sebaliknya menerima manfaat apabila kapal-kapal menuju ke negeri seperti Texas, Louisiana, dan Alaska.

Kenyataan tersebut dibuat ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus meningkat susulan pertikaian berhubung laluan perdagangan strategik dan isu keselamatan serantau.

Setakat ini, tiada maklum balas segera dikeluarkan oleh pihak Iran berhubung kenyataan tersebut.

Pada pusingan pertama rundingan hujung minggu lalu, yang diketuai Naib Presiden AS, JD Vance berakhir tanpa sebarang persetujuan.
 

Must Watch Video