Skip to main content

Malaysia

Lahir daripada tragedi Highland Towers, pasukan SMART lakar evolusi SAR Malaysia

Bagi SMART yang lahir daripada tragedi Highland Towers, kejayaan hari ini bukan sekadar mempertahankan status antarabangsa malah juga membuktikan evolusi keupayaan SAR negara. - Gambar fail
Bagi SMART yang lahir daripada tragedi Highland Towers, kejayaan hari ini bukan sekadar mempertahankan status antarabangsa malah juga membuktikan evolusi keupayaan SAR negara. - Gambar fail

Advertisement

PUTRAJAYA: Tanggal 11 Dis 1993 menjadi antara titik hitam dalam sejarah bencana negara apabila Blok 1 Kondominium Highland Towers di Ulu Klang, Selangor runtuh, mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi itu membuka mata mengenai keperluan Malaysia untuk memiliki pasukan mencari dan menyelamat khusus terlatih serta berkeupayaan menghadapi bencana berskala besar, yang membawa kepada penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) pada 1 Ogos 1995.

Lebih tiga dekad kemudian, SMART berevolusi menjadi pasukan Heavy Urban Search and Rescue (Heavy USAR) yang memenuhi piawaian Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

SMART memperoleh pengiktirafan Heavy USAR menerusi Klasifikasi Luar INSARAG (IEC) pada 2016 dan baru-baru ini sekali lagi mempertahankan pengiktirafan itu menerusi Klasifikasi Semula Luar INSARAG (IER) dengan keputusan cemerlang.

Jika penilaian 2016 melibatkan kira-kira 130 senarai semak, penilaian pada 22 Sept lepas merangkumi 173 elemen melibatkan lima komponen utama iaitu pengurusan, pencarian, penyelamatan, logistik dan perubatan.

Ketua Seksyen Logistik SMART yang juga penilai INSARAG, Safrizan Suhaini, 45, berkata untuk menjadi penilai, pengalaman dalam pasukan penyelamat sahaja tidak mencukupi kerana seseorang perlu mengikuti kursus ditetapkan PBB, menjalani proses Classifier in Training dan mempunyai pengalaman operasi di lapangan.

Safrizan yang telah 14 tahun bersama SMART mempunyai pengalaman dalam lapan proses klasifikasi termasuk enam sebagai penilai dan dua sebagai timbalan ketua pasukan penilai, antaranya di Jepun, Oman, Hong Kong, New Zealand, Perancis dan Rusia.

Katanya pengalaman itu membuka peluang kepada SMART mempelajari amalan terbaik pasukan antarabangsa untuk dibawa pulang dan disesuaikan bagi memperkukuh keupayaan pasukan negara.

"Sekiranya kita tidak diberi peluang ke luar melihat cara orang lain, kita mungkin merasakan kita yang terbaik. Apabila kita keluar, kita nampak sebenarnya ada penambahbaikan yang boleh dibuat dalam pasukan kita," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kini perkongsian ilmu itu berlaku secara dua hala apabila tujuh amalan SMART dikenal pasti sebagai amalan terbaik oleh 11 penilai antarabangsa dalam penilaian terbaharu, antaranya aspek perubatan, pengurusan logistik dan pengoperasian.

Safrizan berkata amalan itu akan dibawa ke peringkat PBB dan dikongsi menerusi rangkaian USAR untuk disesuaikan oleh pasukan negara lain.

"Bukan sahaja kekurangan kita yang dilihat, malah mereka juga mengambil perkara yang baik. Ini meningkatkan kapasiti dan keupayaan supaya kita sentiasa menjadi lebih baik," katanya.

Pegawai Latihan SMART, PgKB II Mohamad Hafiezul Abdul Halim pula berkata mempertahankan status menerusi IER lebih mencabar kerana penilaian bukan hanya berdasarkan latihan, malah rekod prestasi dua tahun sebelumnya termasuk operasi, latihan, peralatan dan perubatan.

Beliau berkata metodologi INSARAG turut dinilai semula setiap lima tahun berdasarkan perkembangan dan keperluan semasa, justeru pasukan perlu terus meningkatkan keupayaan.

Mohamad Hafiezul yang pernah menjadi penilai INSARAG di China dan Perancis berkata disiplin dan kemahiran pelbagai merupakan antara kekuatan SMART, dengan anggota dilatih supaya mampu membantu komponen lain apabila diperlukan.

Beliau berkata teknologi seperti dron berkeupayaan tinggi dengan pengimejan terma juga semakin penting dalam mempercepat pencarian mangsa.

"Kalau kita tidak boleh mencari mangsa, bagaimana kita hendak menyelamatkan? Apabila kita boleh menentukan lokasi mangsa, seterusnya kita boleh menyelamatkan mangsa," katanya.

Bagi SMART yang lahir daripada tragedi Highland Towers, kejayaan hari ini bukan sekadar mempertahankan status antarabangsa malah juga membuktikan evolusi keupayaan SAR negara.

Lebih tiga dekad kemudian, Malaysia bukan lagi sekadar belajar cara dunia menjalankan operasi SAR, malah melalui SMART, pengalaman dan amalan negara kini turut berpotensi dikongsi dengan komuniti penyelamat dunia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement