LONDON: Laporan teknikal Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai Piala Dunia 2026 mengetengahkan peningkatan jumlah strategi taktikal yang digunakan dalam kejohanan itu, namun menyimpulkan bahawa tiada satu “formula kemenangan” yang semestinya menjamin kejayaan, lapor PA Media/dpa.
Kumpulan Kajian Teknikal (TSG) FIFA dan Jabatan Tinjauan Prestasi Bola Sepak (FPI) menerbitkan laporan setebal 500 halaman pada Jumaat, yang menawarkan “pandangan yang belum pernah berlaku sebelum ini mengenai bagaimana pasukan kebangsaan dan pemain terbaik dunia membentuk semula permainan moden”.
Kesemua 104 perlawanan kejohanan dianalisis menggunakan data lanjutan dan analisis video, dengan 11 trend “taktikal dan teknikal utama” dikenal pasti.
Ketua FPI Tom Gardner berkata: “Perubahan besar antara 2022 dan 2026 ialah kepelbagaian gaya taktikal yang kami lihat serta bagaimana pasukan mampu melaksanakan strategi yang berbeza itu dengan berkesan.
“Membina serangan dari bahagian belakang dengan tiga pertahanan merupakan sesuatu yang kami perhatikan sebagai sangat penting, tetapi ia bukan sesuatu yang dilakukan Sepanyol.
“Jadi, kami tidak mengatakan bahawa jika anda mahu menjadi pasukan yang berjaya, anda mesti membina serangan dengan tiga pertahanan.
Ia lebih kepada mengatakan bahawa inilah yang kami perhatikan. Inilah hala tuju yang semakin diambil oleh pasukan dan inilah cara pasukan dapat melaksanakannya dengan baik,” katanya.
Antara inovasi taktikal utama yang dikenal pasti ialah membina serangan dengan tiga pertahanan, pertukaran posisi pemain sayap, mengubah titik serangan, transisi menyerang, tekanan tinggi yang tersusun, blok pertahanan dan tekanan balas.
“Saya fikir bagi kejohanan ini, ia bukan mengenai mengatakan bahawa inilah satu perubahan taktikal utama yang kami lihat,” kata Gardner.
“Ia benar-benar mengenai mengetengahkan variasi strategi taktikal yang kami lihat dan bagaimana pasukan dapat bermain berdasarkan kekuatan masing-masing.
Sama ada sesetengah pasukan bermain dengan sistem tekanan tinggi secara individu yang sangat agresif, tiga lawan tiga di bahagian pertahanan dan bermain secara agresif, atau bertahan dengan sangat padat serta mampu melaksanakan strategi itu dengan berkesan. Variasi inilah yang benar-benar menyerlah,” katanya.
Laporan itu menyatakan terdapat “pelbagai pendekatan menuju kejayaan”, sambil menambah: “Daripada tekanan tinggi yang agresif kepada sekatan di peringkat bawah yang berdisiplin dan transisi pantas, analisis menunjukkan bahawa tiada satu formula kemenangan.
Cape Verde menunjukkan bagaimana pertahanan yang padat, organisasi berpasukan dan penglibatan penjaga gol secara proaktif dapat membolehkan pasukan bersaing dengan lawan yang mempunyai kelebihan teknikal.”
Laporan itu berkata Unit Pengumpulan Data mereka berjaya merekodkan “tindakan, interaksi dan fasa permainan khusus bola sepak yang lazimnya tidak tersedia di tempat lain dalam industri”.
“Ini digabungkan dengan data penjejakan pemain dan bola yang sangat tepat, memberikan pemahaman terperinci mengenai pergerakan dan kedudukan pemain di seluruh padang … bagi menghubungkan apa yang berlaku dengan bagaimana dan mengapa ia berlaku,” menurut laporan itu.
Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsene Wenger, berkata: “Pada tahap tertinggi, bola sepak sentiasa berkembang.
“Idea baharu muncul, prinsip sedia ada disesuaikan dan penyelesaian yang dibangunkan oleh sesebuah pasukan boleh mempengaruhi permainan jauh melangkaui satu kejohanan.
Oleh itu, tanggungjawab kami adalah mengenal pasti perkembangan ini, memahami kepentingannya dan berkongsi pengetahuan berkenaan dengan komuniti bola sepak global,” katanya.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa