KUALA LUMPUR: Jerman berhasrat memperkukuh hubungan ekonomi dan pertahanan dengan Malaysia yang disifatkan sebagai rakan serantau penting dan dipercayai dalam landskap geopolitik serta ekonomi global yang berubah.
Duta Besar Jerman ke Malaysia Silke Riecken-Daerr berkata Malaysia menawarkan peluang pelaburan yang besar kepada syarikat Jerman, disokong kedudukannya yang strategik, tenaga kerja berkemahiran, infrastruktur dan kepelbagaian.
“Malaysia merupakan rakan penting dan dipercayai bagi Jerman di rantau ini, bukan sahaja dari segi ekonomi. Kami mahu menjalin hubungan pertahanan yang lebih erat dengan meningkatkan kerjasama ketenteraan secara praktikal serta memperdalam kerjasama persenjataan antara kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Perpaduan Jerman di sini pada Khamis malam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani merupakan tetamu kehormat pada sambutan itu yang dihadiri lebih 1,000 orang termasuk diplomat asing di Malaysia, pegawai kerajaan, wakil syarikat dan pertubuhan Jerman serta anggota komuniti Jerman di Malaysia.
Riecken-Daerr berkata syarikat Jerman melihat Malaysia secara positif sebagai destinasi pelaburan, manakala pelabur Malaysia juga semakin menunjukkan minat terhadap Jerman.
“Malaysia menawarkan peluang pelaburan yang luas di lokasi strategik. Kepelbagaian, tenaga kerja berkemahiran, infrastruktur dan layanan mesra Malaysia merupakan aset besar. Pada masa sama, syarikat kami menghargai kebolehpercayaan, kemudahan akses dan persaingan yang adil,” katanya.
Mengenai hubungan ekonomi Malaysia-Kesatuan Eropah (EU), Riecken-Daerr berkata rundingan pusingan kelima bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU berlangsung di Brussels minggu lepas, dengan rundingan kini beralih kepada isu yang lebih rumit.
Beliau berkata kedua-dua pihak kekal memberi tumpuan untuk memuktamadkan perjanjian itu menjelang tahun depan yang akan membantu mengembangkan lagi potensi perdagangan dua hala.
“Pasaran tunggal EU sangat besar dan amat menarik untuk diterokai, manakala Malaysia merupakan rakan yang sangat menarik bagi Kesatuan Eropah untuk mempelbagaikan hubungan ekonomi, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan serta menjalin kerjasama lebih erat dalam teknologi dan pendidikan,” katanya.
Selain kerjasama ekonomi dan pertahanan, Riecken-Daerr berkata Jerman turut mahu memperkukuh hubungan antara rakyat dengan Malaysia menerusi projek kebudayaan bersama, kerjasama akademik dan saintifik serta latihan bahasa.
Menyentuh situasi antarabangsa, duta itu berkata persekitaran global berubah dengan ketara sejak penyatuan semula Jerman 36 tahun lepas, dengan peraturan dan prinsip antarabangsa semakin berdepan cabaran.
Beliau turut menggesa kerjasama lebih erat dalam kalangan kuasa pertengahan bagi menegakkan undang-undang antarabangsa, kebebasan pelayaran, perdagangan bebas dan multilateralisme ketika ketidaktentuan global semakin meningkat.
Sambutan yang menandakan penyatuan semula Jerman secara aman itu turut menampilkan syarikat dan pertubuhan Jerman serta yang mempunyai kaitan dengan negara itu, termasuk Airbus dan Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS).
Tetamu turut disajikan dengan pelbagai hidangan Jerman termasuk aneka sosej Jerman, hidangan bebola daging dikenali sebagai Konigsberger Klopse serta makanan tradisional lain.
Hari Perpaduan Jerman yang disambut setiap tahun pada 3 Okt menandakan penyatuan semula Jerman Timur dan Jerman Barat pada 1990 susulan runtuhnya Tembok Berlin dan berakhirnya perpecahan selama beberapa dekad semasa Perang Dingin. Ia merupakan hari kebangsaan Jerman yang meraikan penyatuan semula negara itu secara aman.
-- BERNAMA