BANGKOK: Seorang rakyat Thailand maut manakaka lapan cedera dengan 11 lagi antara yang dijadikan tebusan oleh pejuang Hamas semasa serangan ke atas Israel.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Parnpree Bahiddha-Nukara berkata Perdana Menteri, Srettha Thavisin secara rapat mengikuti perkembangan dan mengarahkan Kedutaan Diraja Thailand di Tel Aviv untuk menyediakan kemas kini masa nyata, menyelaras dengan pihak berkuasa yang berkaitan di Israel dan berhubung dengan warga Thailand.

"Pada masa ini, kedutaan sedang menyelaras dengan pihak berkuasa di Israel untuk mengesahkan maklumat berikut mengenai rakyat Thailand di Israel, iaitu seorang maut, lapan cedera, dan 11 orang ditahan.

"Kerajaan mengutamakan melindungi warganegara Thailand.

"Kerajaan Thai mengutuk keganasan dalam semua bentuk dan menyeru agar keganasan dihentikan dan pembebasan segera semua orang awam yang tidak bersalah," katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Beliau menggesa media untuk bekerjasama untuk tidak menyiarkan nama rakyat Thailand yang terjejas, memandangkan situasi terus berlanjutan dan maklumat masih disahkan oleh pihak berkuasa di lapangan.

Parnpree berkata perdana menteri telah mengeluarkan arahan supaya Tentera Udara Diraja Thailand bersiap sedia untuk pemindahan segera warga Thailand dari Israel melalui udara, mengikut keperluan.

Sementara itu, Duta Thailand ke Israel, Pannabha Chandraramya berkata pertempuran masih berterusan, khususnya di kawasan dan sekitar Semenanjung Gaza.

Beliau berkata tentera Israel telah melarang orang ramai daripada meninggalkan premis mereka dan memasuki kawasan terjejas sehingga mereka mendapat kawalan penuh.

Pada masa ini, beliau berkata ruang udara Israel masih dibuka, tetapi semua penerbangan keluar-masuk perlu diselaras rapat dengan kawalan trafik udara.

"Kedutaan Diraja Thailand secara aktif mengikuti perkembangan dan bersedia untuk membantu dalam setiap cara yang mungkin," katanya sambil menambah bahawa kedutaan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa di Israel untuk mengesahkan jumlah kematian, cedera dan ditangkap melibatkan rakyat Thailand.

Beliau berkata beberapa daripada mereka yang cedera telah dipindahkan ke hospital.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 30,000 warga Thailand di Israel, dan kira-kira 5,000 orang berada di Semenanjung Gaza.

Warga Thailand termasuk pelajar di kawasan lain kekal selamat.

Sementara itu, Srettha, yang kini dalam lawatan rasmi lima hari ke Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) dan tiga negara ASEAN--Brunei, Malaysia, dan Singapura berkata Kementerian Luar dan Tentera Udara Diraja Thailand sedang bekerjasama rapat untuk memindahkan rakyat Thailand sebaik sahaja keadaan mengizinkan.

"Sebuah penerbangan boleh memuatkan 423 orang," tulisnya di X selepas beliau mendarat di HKSAR pada Ahad.

Terdahulu, Srettha berkata beliau telah mengarahkan Tentera Udara Diraja menyediakan pesawat Airbus A340 dan C-130 untuk menjalankan operasi itu.

Perdana menteri berkata beliau akan menggunakan semua saluran diplomatik untuk memastikan pembebasan rakyat Thailand yang tidak bersalah, yang tidak terlibat dalam konflik itu.

Menurut media antarabangsa sekurang-kurangnya 550 orang awam dari kedua-dua pihak terbunuh manakala lebih 3,000 yang lain cedera dalam serangan balas.

-- BERNAMA