Konflik Palestin-Israel: Trump bakal jadi penentu

Trump berucap pada Sidang Kemuncak Keamanan Gaza di Sharm el-Sheikh, Mesir, 13 Okt 2025. (Foto AP)
KAHERAH: “Saya akan menentukan apa yang wajar mengenai penyelesaian jangka panjang konflik Palestin-Israel.”
Kenyataan itu dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa sehari selepas beliau menghadiri lawatan singkat ke Asia Barat untuk memeterai deklarasi bagi mengukuhkan perjanjian gencatan senjata di Gaza.
“Ramai yang sokong penyelesaian satu negara dan ada juga yang mahukan penyelesaian dua negara. Kita akan lihat nanti,” katanya.
Asia Barat mencipta sejarah selepas pemimpin di rantau itu menandatangani deklarasi berdasarkan pelan damai Gaza dicadangkan Trump, beberapa jam setelah pelaksanaan pertukaran perjanjian tahanan.Presiden ke-47 AS itu turut singgah sebentar di Israel sebelum terbang ke Mesir untuk sidang kemuncak keamanan Gaza yang dihadiri pemimpin Mesir, Qatar dan Turkiye selaku penjamin perjanjian gencatan senjata tersebut.
“Ia merupakan hari luar biasa buat dunia dan Asia Barat kerana kesepakatan yang dianggap mustahil telah dimeterai dengan jayanya. Akhirnya, rantau ini mencapai keamanan,” ujar Trump ketika berucap pada pertemuan di pusat peranginan Sharm el-Sheikh.
Pemimpin Kaherah, Doha dan Ankara serta Washington turut mengeluarkan kenyataan bersama untuk memastikan keamanan berkekalan.
Deklarasi itu ditandatangani oleh Trump bersama Emir Qatar, Tamim Hamad al Thani, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi.
Difahamkan, Palestin dan Israel tidak terlibat dalam pengisytiharan tersebut walaupun kedua-duanya adalah subjek utama proses damai berkenaan.
Trump 'rai' genosid
Ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Knesset (Parlimen) Israel untuk meraikan perjanjian gencatan senjata di Gaza pada Isnin telah mencetuskan gelombang kritikan meluas.
Mereka mendakwa Trump secara terang-terangan menyokong pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Palestin dan pelan damai dicadangkannya hanyalah wayang semata-mata.
Pemimpin itu memuji kerajaan ‘ekstremis’ pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, malah dengan selamba menyarankan pengampunan diberikan kepadanya yang terpalit kes rasuah.
Trump juga bermegah tentang bekalan senjata membunuh yang disalurkan Washington kepada Tel Aviv.
Ucapan mengarut Trump mencetuskan rasa kurang senang dua anggota Knesset yang kemudiannya mencelah dengan membawa sepanduk menuntut pengiktirafan negara Palestin, namun mereka akhirnya diusir dari dewan.
Pengkritik juga berpendapat kata-kata Trump sememangnya mengagungkan keganasan dan mengabaikan penderitaan penduduk Palestin.
Wartawan Jeremy Scahill di DropSiteNews menerusi ruangan komen menulis, ‘adegan di Knesset seperti meraikan jenayah perang kerana pemimpin dan fasilitator genosid di Gaza saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain meskipun perang itu sia-sia’. - Agensi/Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami