NEW DELHI: Perdana Menteri Pakistan Imran Khan pada Selasa mencadangkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara itu menjadi perantara dalam usaha untuk menamatkan konflik Rusia-Ukraine.

Bercakap pada Sesi ke-48 Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Islamabad, Imran berkata konflik itu akan memberi kesan mendalam kepada dunia dan jika pertubuhan dunia ini dapat bekerjasama dengan China kemungkinan gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine dapat dicapai.

Menteri Luar China Wang Yi turut menghadiri mesyuarat itu sebagai tetamu khas.

"Kita harus memikirkan bagaimana kita boleh menjadi perantara, bagaimana kita boleh mewujudkan gencatan senjata.

"Jika ia berterusan seperti sekarang, ia boleh mencetuskan kesan besar kepada seluruh dunia," katanya.

Imran berkata beliau akan berbincang dengan menteri luar China bagaimana China dan OIC boleh memainkan peranan dalam menamatkan konflik itu.

Perdana Menteri Pakistan itu berkata negara-negara yang "tak berpihak" boleh memainkan peranan dalam mempromosikan keamanan.

Pakistan sudah berusaha untuk kekal berkecuali selain turut mengambil pendirian berkecuali semasa sesi undian Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini yang mengecam tindakan ketenteraan Rusia terhadap Ukraine.

-- BERNAMA