Kanak-kanak antara golongan paling terjejas selepas terheret ke dalam kancah peperangan di Syria.

Bukan hanya ketinggalan dalam pendidikan, paling membimbangkan jumlah kanak-kanak direkrut sebagai tentera dan dipaksa berperang semakin meningkat.

Program ‘Save the Children’ melaporkan kanak-kanak berkenaan dieksploitasi pihak bertelingkah dalam krisis berdarah Syria.

Golongan budak bawah 18 tahun itu juga digunakan sebagai pengawal, pemberi maklumat dan dalam kes tertentu, sebagai perisai manusia dalam usia seawal lapan tahun.

Menurut program berkenaan, trend itu menunjukkan peningkatan selepas pelbagai inisiatif damai dirancang menemui jalan buntu.

Turut menyokong kewujudan fenomena berkenaan ialah laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), UNICEF.

Ia menjelaskan perkembangan berkenaan menyebabkan kanak-kanak Syria membesar dengan persekitaran yang ganas.

Sementara itu, menurut laporan kajian sosial Turki, tiga daripada empat kanak-kanak Syria yang ditemubual kehilangan keluarga tersayang.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan, kemusnahan sektor pendidikan. Lebih 2000 buah sekolah dilaporkan musnah dalam serangan.

Untuk itu, program ‘Save the Children’ menjelaskan satu-satunya cara untuk menghentikan penderitaan kanak-kanak Syria ialah dengan menamatkan perang.

Sementara itu, dianggarkan dua juta kanak-kanak di Syria kini berdepan kekurangan nutrisi, penyakit serta pengalaman trauma.

Penilaian didedahkan dalam laporan 'Children Under Fire', oleh organisasi kebajikan ‘Save The Children’ yang berpangkalan di Jordan.

Laporan didedahkan genap dua tahun kebangkitan rakyat menentang rejim Bashar Assad sehingga menjerumus Syria ke kancah perang saudara.

Menurut laporan tersebut, kanak-kanak Syria juga berdepan kesukaran melarikan diri dan mencari perlindungan di kem pelarian di Jordan, Lubnan dan negara jiran.

Organisasi itu juga memaklumkan, sebahagian besar kem pelarian di sempadan Syria-Jordan, menyediakan program sokongan psikologi bagi membantu kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

PBB sebelum ini mendedahkan bilangan pelarian Syria kini mencecah sejuta orang.