Skip to main content

Dunia

Konflik Yaman: 73 kapal rentasi Bab al-Mandab ketika pertempuran memuncak

A satellite view shows Perim island in Yemen, September 11, 2026. According to Yemen's government Iran-aligned Houthis reached the strategic island of Perim in the Bab el-Mandeb Strait on Friday in a move to tighten their grip on a vital global shipping route. Pleiades Neo © Airbus DS 2026 /Handout via REUTERS
Paparan satelit menunjukkan Pulau Perim di Yaman pada 11 September 2026. Kerajaan Yaman mendakwa Ansarallah menawan pulau strategik di Selat Bab al-Mandab itu. - Foto Reuters
Advertisement

SANAA: Pergerakan kapal antarabangsa melalui Selat Bab al-Mandab kekal hampir pada paras normal meskipun pertempuran darat sengit berlaku di sepanjang pesisir Yaman.

Kumpulan Ansarallah dalam kenyataan yang disiarkan menerusi stesen televisyen Al-Masirah semalam memaklumkan sebanyak 73 kapal antarabangsa, termasuk kapal kontena dan kapal dagang, melalui selat berkenaan dalam tempoh 48 jam.

Daripada jumlah itu, 36 kapal direkodkan pada Khamis dan 37 lagi pada Jumaat, bersamaan 98.6 peratus daripada purata trafik harian sebelum larangan terhadap kapal Arab Saudi dikuatkuasakan pada 20 Julai.

Ansarallah mendakwa pelayaran antarabangsa di laluan strategik itu kekal bebas, selamat dan lancar, namun kapal Arab Saudi masih dilarang melaluinya.

Kumpulan itu pada Jumaat dilaporkan mengukuhkan penguasaan di pantai barat Yaman dan beberapa kawasan utama sekitar Bab al-Mandab, selepas menawan bandar pelabuhan Mocha di Laut Merah sehari sebelumnya.

Dalam perkembangan berkaitan, empat sumber kerajaan Yaman mendakwa Ansarallah turut menawan Pulau Perim pada Jumaat, yang terletak di tengah-tengah selat berkenaan.

Bab al-Mandab menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi laluan penting bagi perdagangan serta penghantaran tenaga antara Asia dengan Eropah.

Ansarallah kemudian menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan serangan terhadap pasukan prokerajaan di beberapa lokasi yang tidak dinyatakan di Yaman.

Rakaman disiarkan rangkaian televisyen kendalian kumpulan itu pada hari ini turut memaparkan beberapa kenderaan tentera yang musnah serta sejumlah korban, manakala seorang individu tidak dikenali mendakwa 10 kenderaan berjaya dimusnahkan.

Bagaimanapun, pihak yang melakukan serangan itu belum dapat dipastikan, sementara Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas lokasi dan tarikh rakaman berkenaan diambil.

Menurut Reuters, tiada versi terdahulu video tersebut ditemukan dalam talian sebelum 12 September, manakala dakwaan bahawa kemaraan Ansarallah mendapat bimbingan langsung daripada Pengawal Revolusi Iran juga belum dapat disahkan secara bebas.

Ansarallah menguasai Sanaa sejak penghujung 2014, sebelum pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan pada tahun berikutnya bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa. 


 

Must Watch Video

Advertisement