Ringkasan AI
- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengkaji cadangan penjawatan tetap untuk kira-kira 10,250 pegawai dan kakitangan Kemas di seluruh negara.
- Memorandum dan kertas cadangan telah dikemukakan kepada JPA lebih enam bulan lalu untuk meneliti implikasi kewangan cadangan tersebut.
- Kerajaan mencadangkan jawatan tetap dengan sumbangan KWSP, bukan berpencen, bagi menjaga kebajikan dan jaminan kerjaya kakitangan Kemas.
TANGGA BATU: Cadangan mewujudkan penjawatan tetap bagi kira-kira 10,250 pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara kini sedang dikaji oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata memorandum dan kertas cadangan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada JPA melalui saluran kementerian, lebih enam bulan lalu.
Beliau berkata JPA kini sedang meneliti implikasi kewangan bagi pelaksanaan cadangan berkenaan supaya tidak membebankan kewangan kerajaan.
“Dan kita yakin bahawa pihak JPA akan meneliti agar ianya tidak membebankan kewangan kerajaan.
“Kerajaan telah menentukan bahawa jawatan-jawatan baharu dicadangkan supaya tidak dibuat secara tetap dan berpencen, tetapi jawatan tetap dan juga dengan sumbangan kepada KWSP,” katanya selepas ditemui pada program Perhimpunan Kakitangan Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi, di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementerian akan terus memantau perkembangan cadangan itu bagi memastikan kebajikan, masa depan serta jaminan kerjaya pegawai dan kakitangan Kemas diberikan perhatian.
Ujarnya lagi, perkara itu penting memandangkan terdapat kakitangan Kemas yang telah berkhidmat sehingga 41 tahun, namun tidak memperoleh kemudahan pencen.
“Kita melihat majlis penyampaian anugerah kepada mereka yang telah bersara, terdapat mereka yang bekerja sehingga 41 tahun lamanya, tetapi mereka tidak memperoleh pencen.
“Oleh yang demikian, tentunya kita akan memberikan usaha yang berterusan bagi jawatan tetap ini dapat diberikan kepada pegawai dan kakitangan Kemas di seluruh negara dalam tempoh yang terdekat,” tambah beliau.