Sebuah konvoi trak tentera Belanda yang membawa bersama misil patriot berlepas ke Turki daripada Pangkalan Tentera Udara De Peel pada Isnin.

Misi itu merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk melindungi sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu daripada serangan peluru berpandu Syria.

Amerika Syarikat, Jerman dan Belanda masing-masing akan mengerahkan sistem pertahanan mereka untuk membantu pertahanan udara Turki bagi menghalang sebarang tempias perang saudara Syria daripada merebak ke negara berkenaan.

Kesemua misil itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 26 Januari ini.

Selain itu, seramai 30 kakitangan tentera dari Belanda dan 20 dari Jerman akan berlepas ke Turki hari ini untuk menyambut ketibaan sistem pertahanan yang dimaksudkan.