DUNIA
Korea Selatan: 18 maut, sembilan hilang akibat hujan lebat, tanah runtuh

Kelihatan sebuah bangunan kedai yang musnah susulan kejadian hujan lebat di Gapyeong, Korea Selatan, 20 Julai 2025. (Foto AP)
SEOUL: Seramai 18 orang dilaporkan terkorban manakala sembilan lagi masih hilang susulan hujan lebat dan kejadian tanah runtuh yang melanda negara itu sejak minggu lepas, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan kerajaan pada Isnin.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, setakat 9 malam Ahad, jumlah korban merangkumi 10 orang di Sancheong di selatan, dua di Gapyeong di utara dan dua lagi di Seosan di barat negara itu.
Empat daripada mangsa yang hilang dilaporkan di Sancheong manakala empat lagi di Gapyeong.
Lebih 14,000 penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan di 15 bandar dan wilayah utama sejak hujan lebat bermula pada Rabu lepas.Kerosakan harta benda turut dilaporkan, dengan 1,999 kes membabitkan kemudahan awam dan 2,238 kes melibatkan kemudahan persendirian setakat 6 petang Ahad.
Agensi cuaca negara meramalkan hujan akan berterusan sehingga pagi Isnin di Wilayah Jeolla Selatan, Wilayah Gyeongsang Selatan dan pulau selatan Jeju.
Wilayah Jeolla Utara dan Gyeongsang Utara dijangka mula menerima hujan pada 9 pagi manakala kawasan ibu negara serta wilayah Gangwon dan Chungcheong diramal mengalami hujan pada sebelah petang.
Kerajaan telah menarik balik semua amaran hujan lebat dan menurunkan tahap amaran daripada "serius" kepada "waspada" pada Ahad.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami