KUALA LUMPUR: Malaysia dan China komited terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam aspek keselamatan, tadbir urus dan pengukuhan institusi melalui dialog, pertukaran pengalaman serta persefahaman bersama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook berkata beliau menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Setiausaha Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin Parti Komunis China (CCDI) merangkap Naib Pengerusi Suruhanjaya Penyeliaan Kebangsaan (NCS) Sun Xinyang bersama-sama delegasinya di ibu negara, hari ini.
Ahmad Zahid berkata kunjungan itu membuka ruang kepada pertukaran pandangan tentang pendekatan keselamatan, tadbir urus dan pengukuhan institusi.
“Pertemuan ini turut mencerminkan hubungan baik Malaysia–China serta komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama melalui dialog, pertukaran pengalaman dan persefahaman bersama,” katanya.
-- BERNAMA