SEOUL: Pasukan pendakwa khas Kwon Chang-young pada Isnin berkata pihaknya mendakwa 58 individu, termasuk bekas Presiden Yoon Suk Yeol dalam siasatan selama 180 hari terhadap pelbagai dakwaan membabitkan Yoon, isterinya dan pegawai kanan pentadbiran, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pasukan itu mengumumkan hasil akhir siasatan yang secara rasmi berakhir pada Ahad selepas dilancarkan pada Februari bagi menyiasat dakwaan yang belum disiasat sepenuhnya oleh tiga pasukan pendakwa khas sebelum ini.
Kwon membuka semula siasatan terhadap pertuduhan pemberontakan yang berpunca daripada cubaan Yoon melaksanakan undang-undang tentera yang singkat pada 2024, selain dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan bekas Wanita Pertama Kim Keon Hee serta kematian seorang anggota Kor Marin pada 2023.
Dalam siasatan itu, Kwon mendakwa Yoon atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan pegawai memberikan justifikasi kepada Amerika Syarikat dan negara rakan utama lain berhubung kegagalan percubaan melaksanakan undang-undang tentera.
Bekas Penasihat Keselamatan Negara Shin Won-sik dan bekas Timbalan Utama Penasihat Keselamatan Negara Kim Tae-hyo turut didakwa atas peranan yang didakwa mereka dalam kes berkenaan.
Pasukan itu juga mendakwa beberapa individu lain, termasuk bekas Pengerusi Ketua Turus Bersama Kim Myung-soo dan bekas Pengarah Perkhidmatan Perisikan Negara Cho Tae-yong, kerana memainkan peranan penting dalam pemberontakan yang berlaku ketika percubaan Yoon melaksanakan undang-undang tentera.
Dalam kes berasingan, isteri Yoon, Kim, turut didakwa atas pertuduhan campur tangan dalam projek pemindahan kediaman presiden pada 2022. Beliau didakwa campur tangan secara tidak wajar bagi menganugerahkan kerja pembinaan kepada sebuah syarikat yang tidak layak.
Dengan tamatnya mandat siasatan, pasukan Kwon menyerahkan 46 kes membabitkan 150 individu kepada polis untuk siasatan lanjut.
Kwon mengakui terdapat kekangan dalam siasatan itu berikutan tempoh mandat selama 180 hari dan mencadangkan penubuhan pasukan siasatan khas tetap bagi menyiasat pertuduhan berkaitan pemberontakan.
"Siasatan jangka panjang diperlukan kerana sifat jenayah pemberontakan adalah secara kolektif, tersusun dan berpanjangan," katanya pada sidang media. "Ia merupakan isu yang tidak dapat diselesaikan melalui pendakwa khas selama enam bulan."
"Adalah wajar untuk meneruskan siasatan secara sistematik dan jangka panjang dengan menubuhkan pasukan siasatan khas yang disertai pelbagai agensi penyiasatan."
-- BERNAMA-YONHAP