Skip to main content

Dunia

Korea Selatan, masyarakat antarabangsa bincang keselamatan Selat Hormuz

bendera korea selatan ngan iran
Korea Selatan mengekalkan saluran diplomatik terbuka dengan Iran dan terus berhubung mengenai perkara berkaitan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat. - Gambar fail/iStock
Advertisement

SEOUL: Korea Selatan sedang berhubung rapat dengan negara berkaitan dan masyarakat antarabangsa bagi membantu memastikan laluan bebas semua kapal melalui Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik Kementerian Luar pada Isnin.

"Kami sedang berhubung rapat dengan masyarakat antarabangsa, termasuk negara berkaitan, bagi membantu memulihkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat secepat mungkin serta memastikan laluan bebas semua kapal, termasuk kapal negara kami, melalui Selat Hormuz," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Sumber diplomatik berkata kerajaan Korea Selatan mengekalkan saluran diplomatik terbuka dengan Iran dan terus berhubung mengenai perkara berkaitan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat, dengan matlamat menggalakkan kestabilan serantau.

"Sebarang kehadiran tentera atau penyertaan negara lain dalam operasi di Teluk Parsi dan Selat Hormuz hanya boleh dianggap sebagai sokongan langsung kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu dan akan membawa akibat yang serius," kata Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei menerusi hantaran di platform X pada Isnin.

Walaupun Baqaei tidak secara khusus menyebut Korea Selatan atau secara langsung menjadikan Seoul sebagai sasaran amaran itu dalam hantarannya, beliau berkata Iran dan Korea Selatan telah menjalinkan hubungan diplomatik selama 64 tahun dan Tehran amat mementingkan hubungan persahabatannya dengan Seoul.

-- BERNAMA-YONHAP

 

Must Watch Video

Advertisement