SEOUL: Kementerian Luar Korea Selatan pada Rabu menasihatkan rakyatnya yang masih berada di Lubnan supaya segera meninggalkan negara Asia Barat itu menerusi penerbangan sedia ada, susulan situasi keselamatan yang semakin buruk akibat peningkatan serangan darat Israel di wilayah selatan.
Kedutaan Korea Selatan di Lubnan telah mengeluarkan nasihat tegas agar rakyatnya keluar secepat mungkin selagi ruang udara Lubnan masih dibuka, lapor agensi berita Yonhap yang memetik kenyataan kementerian luar negara itu.
Advertisement
Kira-kira 120 warga Korea Selatan dilaporkan masih berada di Lubnan pada masa ini.
Duta Korea Selatan ke Lubnan, Geon Gyu-suk dalam satu pesanan yang dimuat naik di laman sesawang kedutaan menggesa rakyatnya supaya meninggalkan negara itu, sambil memberi amaran bahawa tindakan untuk terus kekal di sana boleh membahayakan nyawa mereka.
Pihak kedutaan kini sedang menghubungi kesemua warga Korea Selatan di Lubnan untuk menasihati mereka supaya meninggalkan negara itu, selain menyediakan maklumat mengenai penerbangan yang masih tersedia.
"Kami sekali lagi menggesa warga kami di Lubnan untuk berlepas segera menggunakan penerbangan komersial yang ada, mengambil kira keadaan keselamatan yang meruncing ekoran pengerahan tentera darat Israel ke selatan Lubnan," menurut kementerian itu.
Korea Selatan telah mengenakan larangan perjalanan ke bahagian selatan Lubnan yang bersempadan dengan Israel, manakala kawasan lain di negara itu diletakkan di bawah nasihat perjalanan Tahap 3 yang menggesa warganegaranya untuk keluar.
-- BERNAMA-YONHAP