Skip to main content

Dunia

Korea Utara beri amaran tindak balas 'amat dahsyat' jika Korea Selatan hantar lebih banyak dron

This photo provided by the North Korean government shows Kim Yo Jong, sister of North Korean leader Kim Jong Un, delivering a speech during a national meeting against the coronavirus, in Pyongyang, North Korea, on Aug 10, 2022. (File photo: AP/Korean Central News Agency/Korea News Service)
Kim menegaskan, Pyongyang tidak berminat sama ada pencerobohan dron dilakukan oleh individu, kumpulan awam atau pihak tertentu di Korea Selatan. - Gambar fail AP

SEOUL: Korea Utara memberi amaran keras bahawa negara itu akan memberikan “tindak balas yang amat dahsyat” sekiranya mengesan sebarang pencerobohan dron tambahan dari Korea Selatan. 

Amaran itu hadir ketika Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, sedang berusaha memperbaiki hubungan dua hala sejak memegang jawatan tahun lalu, termasuk mengkritik pentadbiran terdahulu yang didakwa menghantar dron untuk menabur propaganda ke ruang udara Pyongyang.

Advertisement

Bagaimanapun, Korea Utara mendakwa, mereka telah menembak jatuh sebuah dron pengintip bulan lalu - insiden yang mengancam usaha damai Presiden Lee.

Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin tertinggi Kim Jong Un berkata, Pyongyang tidak akan berdiam diri jika pencerobohan dron berulang. 

Menurut kenyataannya yang disiarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), beliau berkata: “Saya memberikan amaran awal bahawa pengulangan provokasi yang melanggar kedaulatan mutlak DPRK pasti akan mencetuskan tindak balas yang amat dahsyat.”

Kim turut menegaskan, Pyongyang tidak berminat sama ada pencerobohan dron dilakukan oleh individu, kumpulan awam atau pihak tertentu di Korea Selatan.

Pihak berkuasa Seoul pada mulanya menafikan sebarang pembabitan rasmi dalam insiden dron Januari lalu, malah mencadangkan ia mungkin tindakan orang awam.

Namun minggu ini, pasukan siasatan bersama tentera‑polis mengesahkan mereka sedang menyiasat tiga anggota tentera aktif dan seorang pegawai agensi risikan, dalam usaha “menentukan kebenaran secara menyeluruh.”

Menteri Penyatuan Korea Selatan, Chung Dong-young, turut menyuarakan “kecewa mendalam” terhadap insiden tersebut.

Beliau sebelum ini memberi bayangan bahawa dron berkenaan mungkin digerakkan oleh pegawai kerajaan yang masih setia kepada bekas presiden Yoon Suk Yeol, yang terkenal dengan pendekatan keras terhadap Pyongyang.

Kim Yo Jong kemudian memuji kenyataan Chung, menyifatkannya sebagai “tindakan yang cukup bijaksana.”

KCNA melaporkan tentera Korea Utara menembak jatuh dron yang membawa peralatan pengawasan awal Januari. 

Gambar yang disiarkan menunjukkan serpihan pesawat ringan bersayap bersama komponen kamera.

Menurut jurucakap tentera, dron itu menyimpan rakaman beberapa “sasaran penting” berhampiran kawasan sempadan.

Bekas presiden Yoon sebelum ini dituduh menggunakan dron tanpa pemandu bagi menabur risalah propaganda ke Korea Utara pada 2024.

Presiden Lee berikrar untuk menghentikan provokasi seperti itu, malah menyatakan bahawa permohonan maaf rasmi mungkin diperlukan untuk memulihkan hubungan dua hala.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah jawatankuasa Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini meluluskan pengecualian yang membolehkan bantuan makanan dan ubat-ubatan memasuki Korea Utara - langkah yang menurut penganalisis boleh menjadi pemangkin kepada usaha menarik Pyongyang kembali ke meja rundingan nuklear bersama Presiden AS, Donald Trump.

Korea Utara kini dalam persiapan untuk mengadakan kongres parti utama pada akhir Februari — satu perhimpunan penting yang hanya berlangsung lima tahun sekali.

Kongres itu dijangka menjadi pentas untuk menetapkan hala tuju dasar luar, strategi ketenteraan dan aspirasi nuklear negara tersebut bagi tempoh lima tahun akan datang. - Agensi

Must Watch Video