Korea Utara pamer peluru berpandu baharu dalam perarakan tentera

Kim Jong Un menghadiri acara sempena ulang tahun ke-80 penubuhan Parti Pekerja Korea (WPK) di Pyongyang, Korea Utara pada 9 Oktober lalu. - Gambar Reuters
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengetuai perarakan tentera besar-besaran yang mempamerkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbaharu negara itu di hadapan para delegasi antarabangsa, lapor agensi berita rasmi KCNA pada Sabtu (11 Okt).
Perarakan yang berlangsung lewat malam Jumaat itu diadakan sempena ulang tahun ke-80 penubuhan Parti Pekerja Korea, parti pemerintah negara berkenaan, dan meneruskan siri sambutan yang bermula pada Khamis.
Antara tetamu kehormat yang hadir di Pyongyang ialah Perdana Menteri China, Li Qiang; delegasi Rusia yang diketuai bekas Presiden Dmitry Medvedev serta Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, To Lam.
Dalam perarakan tersebut, Korea Utara yang memiliki senjata nuklear mempamerkan peluru berpandu antara benua paling canggihnya, Hwasong-20, yang digambarkan KCNA sebagai “sistem senjata strategik nuklear terkuat negara itu.”Siri peluru berpandu Hwasong memberi keupayaan kepada Korea Utara untuk menyerang mana-mana lokasi di tanah besar Amerika Syarikat.
Namun, masih terdapat persoalan mengenai tahap ketepatan sistem panduannya serta keupayaan kepala peledak yang dibawanya untuk menahan suhu tinggi ketika memasuki semula atmosfera bumi.
Dalam ucapannya semasa perarakan itu, Kim menyampaikan “galakan hangat” kepada tentera Korea Utara yang sedang bertugas di luar negara, sambil menegaskan bahawa keberanian mereka bukan sahaja akan terserlah dalam mempertahankan tanah air, tetapi juga di “barisan hadapan pembinaan sosialisme,” lapor KCNA.
Kim turut mengadakan pertemuan dengan Medvedev pada Jumaat, di mana bekas Presiden Rusia itu berkata, pengorbanan tentera Korea Utara yang berjuang untuk Rusia di Kursk membuktikan hubungan kepercayaan kukuh antara kedua-dua negara.
Kim pula menyatakan harapan untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Rusia serta menjalin pertukaran dalam pelbagai bidang bagi mencapai matlamat bersama, menurut laporan KCNA. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami