SEPANYOL hari ini menjadi negara kelapan dari benua Eropah yang mempunyai pesakit positif Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Memetik laporan agensi CNN, Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan bahawa lelaki berkenaan telah dikuarantin di Pulau La Gomera, di Canaries, sebelum disahkan menghidap penyakit berjangkit itu.

Kementerian Kesihatan Sepanyol berkata lelaki itu, yang tidak didedahkan identiti dan warganegaranya, merupakan salah seorang daripada lima individu yang telah dihantar ke pulau itu, selepas siasatan awal mendapati mereka kontak rapat kepada seorang warganegara Jerman yang sebelum ini sah menghidap 2019-nCoV.

Seramai 21 warganegara Sepanyol yang dibawa keluar dari Wuhan, tempat bermulanya virus itu, kini menjalani kuarantin di Madrid, dan sehingga kini tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit itu.



Sementara itu, Reuters melaporkan Menteri Kesihatan Sepanyol, Salvador Illa akan mempengerusikan mesyuarat pada Sabtu bagi membincangkan kesiapsiagaan negara itu dalam menghadapi penularan wabak berkenaan.

Sementara itu, bilangan kes kematian akibat jangkitan novel koronavirus di China terus meningkat kepada 259 orang pada Sabtu.

Sebanyak 45 kematian baharu dan 1,347 kes baharu dilaporkan akibat jangkitan virus bahaya itu.

BACA: Angka korban koronavirus di China meningkat kepada 259