Perancis pada Jumaat mengesahkan tiga kes koronavirus, sekali gus menjadi negara Eropah pertama melaporkan kes berkenaan.

Hal itu diumumkan Menteri Kesihatan Perancis Agnes Buzyn yang berkata tiga individu terbabit telah mengunjungi negara China baru-baru ini.

Kesemuanya ditempatkan di wad isolasi di hospital, dua di Paris, seorang lagi di Bordeaux.

Salah seorang individu, seorang lelaki berusia 48 tahun, melalui Wuhan sebelum melakukan perjalanan ke Perancis pada Rabu.

Perancis berjanji akan telus dalam memerangi jangkitan penyakit itu.

Buzyn berkata memberi maklumat sahih tentang penyebaran virus itu lebih berkesan daripada membuat pemeriksaan suhu badan mereka yang baru tiba di lapangan terbang.

Ujian seumpama itu mudah dimanipulasi, katanya.

"Orang hanya perlu mengambil aspirin 15 minit sebelum mendarat agar tidak demam lagi," jelas Buzyn.

Dengan perkembangan terbaharu ini, koronavirus kini telah tersebar ke sekurang-kurangnya sembilan negara di seluruh dunia.

Di China, kira-kira 926 orang telah dijangkiti, 26 daripadanya maut.

Tiada kematian telah dilaporkan di negara lain, tetapi sekurang-kurangnya 19 individu di luar China kini sedang menerima rawatan.