KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpaskan kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di daerah Kuala Langat, pada Rabu.
Dalam operasi kira-kira 5.15 petang itu, pasukan penguat kuasa KPDN Selangor bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pelabuhan Klang merampas 8,050 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM200,000.
Menurut Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari, serbuan menerusi OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU) itu dilakukan hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan sebelum operasi.
"Pemeriksaan mendapati terdapat aktiviti pemindahan cecair disyaki diesel daripada lori ke dalam skid tank di lokasi berkenaan.
"Turut disita sebuah lori tipper, sebuah lori tangki, satu unit skid tank, tiga unit tangki IBC, pam penyedut serta hos penyambung yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Dalam operasi itu dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan.
Muhamad Hanif berkata, modus operandi sindiket dipercayai menggunakan lori tipper untuk mendapatkan diesel bersubsidi di stesen minyak berhampiran sebelum membawanya ke tapak pembinaan untuk dipindahkan dan disimpan dalam skid tank.
"Diesel berkenaan kemudiannya dipercayai dipindahkan dari skid tank ke dalam lori tangki sebelum dijual kepada pihak industri atau pembeli lain," katanya.
KPDN membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit serta rantaian pengedaran diesel berkenaan.
Kes turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkannya kepada KPDN menerusi WhatsApp 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN.
Malaysia
Seleweng diesel: KPDN Selangor rampas 8,050 diesel subsidi bernilai RM200,000
Pemeriksaan mendapati terdapat aktiviti pemindahan cecair disyaki diesel daripada lori ke dalam skid tank di lokasi berkenaan. - Gambar KPDN Selangor