Kotak hitam pesawat Pakistan International Airlines (PIA) yang terhempas pada Jumaat berjaya ditemukan.

"Kotak hitam dijumpai lewat semalam, kami menyerahkannya kepada lembaga siasatan," kata jurucakap PIA, Abdullah Khan.

Sekurang-kurangnya 99 penumpang terkorban apabila pesawat tersebut terhempas di kawasan kediaman padat di sini.

Menurut salah seorang penumpang, Mohammad Zubair, 24, dia hanya teringat melihat api di sekelilingnya.

"Suara tangisan di mana-mana dan semua orang bergelut menyelamatkan diri.

"Saya tanggalkan tali pinggang keledar dan nampak cahaya dan cuba berjalan ke arahnya.

"Kemudian saya melompat keluar," katanya dari katil hospital dalam sebuah klip video yang tular di media sosial.

Mohammad Zubair mengalami kecederaan akibat terbakar namun berada dalam keadaan stabil, kata seorang pegawai kementerian kesihatan.

Syarikat penerbangan itu menamakan seorang lagi mangsa yang terselamat sebagai Presiden Bank of Punjab, Zafar Masud.

Ketua Pegawai Eksekutif PIA, Arshad Malis berkata mesej terakhir yang diterima daripada juruterbang memaklumkan pesawat itu mengalami masalah teknikal.

Seorang pegawai kanan penerbangan menjelaskan pesawat itu pada mulanya gagal menurunkan gear pendaratan.

Sebelum terhempas, juruterbang memberitahu pesawat itu mengalami kegagalan pada kedua-dua enjin.



Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dalam pada itu mengumumkan satu inkuiri dilakukan dan melantik empat individu untuk prosedur berkenaan.

Pasukan itu akan membentangkan hasil laporan siasatan dalam masa sebulan.

Penerbangan Pakistan International Airlines (PIA) PK-8303 terbang dari Lahore ke Karachi pada Jumaat.

Pesawat Airbus A320 yang membawa 99 penumpang dan kru itu terhempas di kawasan perumahan padat di selatan kota itu setelah dua kali melakukan cubaan mendarat di lapangan terbang.

Pesawat Pakistan International Airlines terhempas di bandar Karachi

Dua penumpang terselamat dan tiada kematian dilaporkan di lokasi perumahan di mana pesawat itu terhempas.

Korban masih belum dikenal pasti akibat kesan kebakaran teruk pada pesawat berkenaan.

Model ternama Pakistan, Zara Abid, antara dikhuatiri terkorban dalam nahas pesawat