Skip to main content

Dunia

Krisis Asia Barat: Jepun umum langkah perkukuh struktur bekalan tenaga

41728964623_Japanesenationalfl.jpg
Pakej dasar itu dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan mengenai transformasi hijau di pejabat Perdana Menteri Sanae Takaichi di Tokyo. - Gambar hiasan
Advertisement

TOKYO: Kerajaan Jepun pada Rabu mengumumkan pelan menyeluruh untuk memperkukuh struktur bekalan tenaganya, dengan tumpuan pada kepelbagaian sumber perolehan minyak dan sokongan terhadap pembinaan saluran paip di negara pengeluar minyak mentah, susulan konflik di Asia Barat, lapor Kyodo News.

Pakej dasar tersebut, yang turut bertujuan menggalakkan lagi penyahkarbonan melalui penggunaan tenaga boleh baharu dan loji kuasa nuklear, dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan mengenai transformasi hijau di pejabat Perdana Menteri, Sanae Takaichi di Tokyo.

Langkah berkenaan diambil susulan kenyataan Takaichi pada Jun mengenai hasratnya untuk merangka pelan bagi struktur tenaga yang lebih mantap menjelang akhir Ogos, serta arahannya kepada Menteri Industri Ryosei Akazawa, yang juga memegang portfolio transformasi hijau, supaya mempercepat persiapan.

Jepun, yang sangat bergantung pada import minyak mentah dari Asia Barat, terjejas teruk akibat penutupan Selat Hormuz, laluan penghantaran minyak penting bagi negara Asia yang kekurangan sumber asli itu, ekoran konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran sejak akhir Februari.

Sebagai sebahagian usaha menggalakkan kepelbagaian bekalan, kerajaan akan memperkenalkan sistem yang membolehkan pemborong minyak dan firma perdagangan berkongsi kos tambahan bagi mengimport minyak mentah dari wilayah selain Asia Barat, menurut pelan baharu tersebut.

Levi yang dikutip daripada pemborong dan syarikat perdagangan itu akan digunakan untuk membiayai subsidi bagi perniagaan yang mengimport minyak tanpa melalui Selat Hormuz.

Bagi mengurangkan pergantungan pada laluan pengangkutan melalui selat tersebut, Tokyo juga akan bekerjasama dengan negara Asia Barat untuk membina saluran paip menerusi organisasi yang disokong kerajaan, iaitu Pertubuhan Logam dan Keselamatan Tenaga Jepun (JOGMEC).

Antara langkah lain yang digariskan dalam pelan itu ialah penyimpanan stok nafta (hasil terbitan minyak), yang lazimnya digunakan sebagai bahan mentah dalam penghasilan plastik, bahan pembungkusan, dan pelarut dakwat percetakan.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video

Advertisement