DUNIA
Krisis politik di New Caledonia, pemisah tolak perjanjian

Selepas rundingan dalaman, kumpulan pemisah kini menolak perjanjian itu dengan alasan ia tidak membantu mencapai matlamat kemerdekaan mereka. - Foto X/POLITICOEurope
PARIS: Pertikaian mengenai masa depan politik gugusan kepulauan Pasifik, New Caledonia, bertukar menjadi krisis selepas lebih setahun gelombang rusuhan ganas melanda wilayah seberang laut Perancis itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kumpulan pemisah Barisan Pembebasan Nasional Kanak dan Sosialis (FLNKS) pada Rabu mengumumkan mereka menolak perjanjian terbaharu yang ditandatangani bersama Paris mengenai status baharu wilayah berkenaan.
Menteri Hal Ehwal Wilayah Seberang Laut Perancis Manuel Valls memaklumkan beliau akan melakukan lawatan ke New Caledonia minggu depan untuk mengadakan rundingan.
Pada pertengahan Julai lepas, selepas bertahun-tahun rundingan gagal, kerajaan di Paris serta kumpulan penyokong dan pemisah dari New Caledonia mencapai persetujuan.Perjanjian itu memperuntukkan pembentukan sebuah negara berasingan bagi New Caledonia - tetapi kekal dalam negara Perancis. Di bawah perjanjian itu, akan diwujudkan kewarganegaraan New Caledonia dan pegawai tempatan diberikan lebih kuasa.
Namun, aspek keselamatan, pertahanan dan kehakiman kekal di bawah kawalan Paris.
Valls ketika itu menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai "bersejarah". Wakil kumpulan pemisah telah menandatanganinya tetapi tidak menganggap ia sebagai komitmen yang mengikat.
Selepas rundingan dalaman, kumpulan pemisah kini menolak perjanjian itu dengan alasan ia tidak membantu mencapai matlamat kemerdekaan mereka.
Tidak pasti sama ada Valls mampu mengubah pendirian kumpulan pemisah itu. Tahun lepas, 14 orang terbunuh dalam rusuhan serius di New Caledonia berhubung pembaharuan pilihan raya yang kontroversi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami