IMEJ satelit baharu yang dikeluarkan Maxar Technologies pada Sabtu mendedahkan kerosakan besar kepada bangunan kediaman dan infrastruktur awam di Mariupol, Ukraine.

Dilaporkan, tentera Rusia terus melancarkan serangan di seluruh Ukraine pada hari tersebut, menggempur kawasan berpenduduk dengan tembakan meriam dan serangan udara.

Bandar pelabuhan Mariupol yang menjadi tumpuan serangan sengit dilaporkan mengalami kemusnahan.

Difahamkan, sebuah masjid di situ yang menjadi tempat perlindungan lebih 80 orang awam menjadi sasaran serangan.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai angka korban akibat tembakan di sekitar masjid itu.


Imej satelit menunjukkan kawah artileri di kawasan lapang dan bangunan yang musnah di daerah Zhovtnevyi, barat Mariupol, Ukraine, ketika aktiviti pencerobohan oleh Rusia, 12 Mac 2022. (Foto AP)