PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelenskyy merayu kepada Kongres Amerika Syarikat agar dapat menggerakkan bantuan bagi membantu perjuangan Ukraine menentang Rusia.

Ucapan Zelenskyy yang disiarkan secara langsung itu mengakui zon larangan penerbangan yang dimintanya bagi menghalang serangan udara ke Ukraine mungkin tidak akan berlaku susulan tentangan Amerika Syarikat.

"Mewujudkan zon larangan terbang ke atas Ukraine untuk menyelamatkan orang ramai, adakah ia terlalu sukar untuk ditunaikan?

"Dengan adanya zon larangan terbang kemanusiaan, ia mewujudkan satu keadaan di mana Rusia tidak lagi dapat membuat serangan udara pada siang atau malam.

"Ketika negara berada dalam keadaan paling malap ini, bagi pihak seluruh Eropah, saya menggesa anda melakukan lebih banyak lagi.

"Pakej sekatan baharu diperlukan setiap minggu, sehingga jentera tentera Rusia berhenti," katanya sambil turut merayu bantuan ketenteraan lain bagi menghentikan serangan Rusia.

Menghampiri tiga minggu dalam perang yang semakin memuncak, Zelenskyy menggunakan pentas global untuk merayu pemimpin bersekutu membantu menghentikan pencerobohan Rusia ke atas negaranya.