BEIJING: Harga minyak mentah melonjak pada Khamis, dengan harga Brent mencecah AS$100 setong buat kali pertama sejak 2014, selepas Rusia menyerang Ukraine, memburukkan lagi kebimbangan bahawa perang di Eropah berkemungkinan mengganggu bekalan tenaga global.

Selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin membenarkan operasi ketenteraan khas, Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba memberitahu Rusia telah melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine dan menyasarkan serangan ke beberapa bandar.

Ukraine berkata Rusia sedang memindahkan peralatan ketenteraan ke negara itu dari Crimea dan menghadapi serangan siber tanpa henti, lapor Reuters.

Satu kematian sudah dilaporkan setakat ini.

Krisis Ukraine-Rusia: Apa punca sebenar dan perkembangan terkini

Rusia merupakan pengeluar minyak kedua terbesar di dunia, menjual minyak mentahnya kepada kilang-kilang di Eropah, dan merupakan pembekal terbesar gas asli ke Eropah, menyediakan kira-kira 35 peratus bekalannya.

Harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$103.78 setong, tertinggi sejak 14 Ogos 2014, dan berada pada AS$103.18 setong pada Khamis, meningkat AS$6.34, atau 6.5 peratus.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS melonjak AS$5.48, atau 6 peratus kepada AS$97.58 setong, selepas meningkat kepada sebanyak AS$98.46, tertinggi sejak 11 Ogos 2014.