KUALA LUMPUR: Kuasa veto yang dipegang oleh lima negara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) ialah punca kepada kebuntuan kemelut Palestin-Israel.

Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Abdel Rahman Ibrahim berkata Negara-negara kuasa besar ini telah menyebabkan tiada sebarang tindakan atau hukuman boleh dikenakan terhadap kezaliman yang dilakukan rejim zionis.

“Masalah kita ialah dengan penyokong Israel dari Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang ada kuasa veto (dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC)). Bila kita ada lima negara veto ini kita tidak boleh buat apa-apa kepada Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Selain itu, Abdel Rahman berkata, tindakan untuk mempertanggungjawab Israel terhadap segala kekejaman yang berlaku juga sukar memandangkan rejim tersebut tidak menjadi ahli kepada Statut Rom.

Kesannya ialah rejim zionis tidak boleh dipanggil dan dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Sekarang ini memang Israel dipanggil banyak kali (ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)) tetapi ada satu perkara iaitu ICC tidak ada kuasa ke atas Israel. Kita perlu faham perkara ini. Ini kerana semua ahli ICC perlu ratifikasi Statut Rom yang menjadi asas kepada penubuhan ICC. Israel bukan ahli,” jelasnya.

Oleh itu, Abdel Rahman berkata ,tekanan melalui tindakan perundangan terus dilaksanakan dengan cara menuntut ganti rugi kepada segala kerosakan yang disebabkan oleh Israel kepada penduduk Palestin.

“Ketika ini ramai peguam Palestin yang pakar dalam undang-undang antarabangsa menawarkan diri untuk buat aduan keatas Israel. Sekarang mereka minta orang Palestin; tanpa mengira diri sendiri, waris, atau ibu bapa mereka, yang ada kerakyatan negara-negara Barat yang menanggung sebarang bentuk kerugian untuk kemukakan dokumen kepada peguam-peguam ini untuk difailkan aduan,” jelasnya.