GALAPAGOS: Selepas lebih 180 tahun, kura-kura gergasi kembali mendiami Pulau Floreana dalam satu pencapaian konservasi yang dianggap sebagai detik bersejarah bagi kepulihan ekologi kepulauan tersebut.
Sebanyak 158 anak kura-kura gergasi yang dibiakkan dalam kurungan telah dilepaskan minggu ini menerusi Projek Pemulihan Ekologi Floreana, usaha kolaboratif yang diketuai oleh Galápagos National Park Directorate dengan sokongan pelbagai organisasi pemuliharaan antarabangsa.
Advertisement
Spesies asal Floreana, Chelonoidis niger niger, pupus pada sekitar 1840-an akibat aktiviti pelaut yang mengambil ribuan kura-kura untuk bekalan makanan.
Namun penemuan pada 2017, iaitu kura-kura yang membawa jalur genetik Floreana di Gunung Berapi Wolf, Pulau Isabela, membuka peluang untuk program pembiakan semula.
Daripada 23 ekor hibrid terpilih, ratusan anak berjaya ditetaskan dan kini sebahagiannya cukup besar untuk dilepaskan ke habitat liar.
Menurut pakar konservasi, haiwan-haiwan ini membawa antara 40 hingga 80 peratus komponen genetik spesies asal, menjadikan usaha ini signifikan dari sudut pemulihan biologi.
Kura-kura gergasi dianggap sebagai jurutera ekosistem, memainkan peranan besar dalam memulihkan struktur landskap, daripada penyebaran biji benih hinggalah mewujudkan ruang habitat mikro untuk spesies lain.
Kepulangan haiwan ini dijangka membantu memulihkan semula kawasan pembiakan burung laut serta memulihkan aliran nutrien antara darat dan laut.
Projek pemuliharaan Floreana turut merangkumi usaha mengembalikan lebih 12 spesies lain yang pernah pupus di pulau tersebut, termasuk burung Galapagos rail yang kembali buat pertama kali selepas 190 tahun.
Kepulangan kura-kura gergasi ini bukan sahaja memperlihatkan kejayaan sains konservasi dan kerjasama komuniti tempatan, tetapi juga memberi harapan baharu kepada projek pemulihan habitat pulau-pulau lain di seluruh dunia.