Skip to main content

Dunia

Lubang besar di Aceh Tengah akibat tanah runtuh, bukan lubang benam

Sumber: REUTERS
Struktur geologi kawasan itu dikatakan tidak menyokong pembentukan lubang benam klasik yang lazimnya berlaku di kawasan batu kapur. - Foto fail/REUTERS

JAKARTA: Satu rongga besar meliputi lebih 30,000 meter persegi, bersamaan kira-kira empat hingga lima padang bola sepak dan mencapai kedalaman sehingga 100 meter di Aceh Tengah, adalah akibat proses tanah runtuh dan bukannya lubang benam, menurut Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN).

Ketua Pusat Penyelidikan Bencana Geologi BRIN, Adrin Tohari berkata lubang yang semakin melebar di Kampung Pondok Balik itu menimbulkan kebimbangan awam berikutan saiz dan kedalamannya yang semakin meningkat, dengan sesetengah penduduk serta laporan media menyamakannya dengan fenomena lubang benam yang berlaku di tempat lain.

Advertisement

Bagaimanapun, beliau berkata struktur geologi kawasan itu tidak menyokong pembentukan lubang benam klasik yang lazimnya berlaku di kawasan batu kapur.

“Apa yang berlaku di Aceh Tengah sebenarnya fenomena tanah runtuh, bukan lubang benam. Lapisan tufnya tidak padat dan kekuatannya rendah, menyebabkan ia mudah terhakis dan runtuh,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan BRIN pada Sabtu.

Adrin menjelaskan kawasan itu terdiri daripada endapan aliran piroklastik dalam bentuk tuf hasil aktiviti lampau Gunung Geurendong yang kini tidak lagi aktif, dan bahan tersebut masih muda dari segi geologi serta belum mengalami pemadatan sepenuhnya, menjadikannya rapuh dan mudah gagal.

Beliau berkata imej satelit Google Earth sejak 2010 telah menunjukkan kewujudan lembah kecil atau gaung di lokasi berkenaan dan dari semasa ke semasa, hakisan serta kejadian tanah runtuh berulang telah melebarkan dan memanjangkan lekukan itu sehingga membentuk rongga besar yang kelihatan hari ini.

Menurutnya, gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda Aceh Tengah pada 2013 berkemungkinan melemahkan struktur cerun, manakala hujan lebat mempercepatkan lagi proses itu apabila batuan tuf yang rapuh mudah menyerap air dan kehilangan kohesi.

Adrin menegaskan fenomena itu tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berkembang dalam tempoh puluhan hingga ratusan tahun, dengan gempa bumi dan hujan bertindak sebagai faktor pemangkin dalam pembentukan semula jadi lembah atau gaung tersebut.

Beliau berkata keadaan geologi serupa turut terdapat di kawasan lain yang mempunyai formasi batuan gunung berapi muda, dengan merujuk Ngarai Sianok di Sumatera Barat yang terbentuk melalui proses geologi jangka panjang berkaitan aktiviti tektonik di sepanjang Sesar Besar Sumatera.

Sehubungan itu, beliau menggesa usaha mitigasi dipertingkatkan termasuk kawalan lebih ketat terhadap aliran air permukaan, penetapan zon bahaya yang jelas serta pemasangan sistem amaran awal tanah runtuh, di samping meminta penduduk sentiasa peka terhadap tanda awal seperti rekahan tanah atau mendapan kecil.

“Peta kerentanan tanah runtuh sudah wujud, namun ia perlu dikemas kini susulan insiden ini bagi meningkatkan ketepatan dan kegunaan operasi. Keutamaan kini adalah memahami proses ini dan segera melaksanakan langkah mitigasi bagi mengelakkan kehilangan nyawa,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video