Skip to main content

Dunia

Genre muzik 'trot' Korea kembali raih perhatian selepas lama dipandang sebelah mata

LimYoungWoong
Bintang paling menyerlah ialah Lim Young-woong, yang melonjak popular sejak memenangi pertandingan trot pada 2020 sehingga berjaya mengadakan konsert solo di Stadium Piala Dunia Seoul pada 2024. - Foto X/allkpop

SEBELUM K-pop mendominasi dunia, Korea Selatan pernah memiliki satu genre muzik yang mencorakkan identiti pop negara itu, trot.

Namun selepas puluhan tahun dianggap kuno dan tidak relevan oleh generasi muda, trot kini kembali mencuri perhatian, kali ini melalui kuasa media sosial dan teknologi AI.

Advertisement

Trend terbaharu ini tercetus apabila pencipta kandungan Korea menggunakan AI generatif untuk mengubah lagu-lagu K-pop popular menjadi versi trot yang berirama lentur, lengkap dengan vokal vibrato dan imej AI idola-idola K-pop berpakaian sut berkilat, gaya klasik penyanyi trot dahulu.

Video-video ini berjaya meraih ratusan ribu tontonan di Instagram, Line dan YouTube, menyebabkan trot kembali menjadi bahan bualan dalam budaya pop Korea.

Namun, kebangkitan ini turut mengundang kebimbangan hak cipta, memandangkan pemilikan karya muzik AI masih belum jelas dari sudut undang-undang.

Trot muncul sekitar 1930-an dan terkenal dengan irama dua ketuk serta penggunaan skala minor.

Liriknya sering membawa tema kerinduan, kesedihan dan “han”, rasa pedih sejarah Korea yang lama terbuku.

Ia turut melahirkan bintang besar seperti Nam Jin dan Na Hoon-A, yang mendominasi era 60-an dan 70-an sebelum popularitinya merosot dengan kemunculan muzik moden.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, trot kembali disegarkan oleh program realiti mencari bakat.

Bintang paling menyerlah ialah Lim Young-woong, yang melonjak popular sejak memenangi pertandingan trot pada 2020 sehingga berjaya mengadakan konsert solo di Stadium Piala Dunia Seoul pada 2024, satu pencapaian jarang dicapai artis trot.

Walaupun begitu, ramai pengkritik berpendapat generasi muda sukar membawa keaslian emosi yang menjadi teras trot, dan genre itu masih bergantung kuat pada sokongan pendengar berusia.

Menurut pemerhati industri, versi trot moden yang dihasilkan oleh AI lebih dilihat sebagai hiburan sementara berbanding minat tulen terhadap genre itu.

Ramai percaya popularitinya mungkin surut apabila rasa ingin tahu terhadap teknologi AI berkurang.

Namun, bagi sesetengah pencipta kandungan, pengalaman menghasilkan trot versi AI membuka mata mereka terhadap nilai budaya genre tersebut.

“Trot bukan sekadar muzik lama,” kata seorang pencipta kandungan. “Ia sebahagian daripada sejarah dan pengalaman Korea.”

 

Must Watch Video