Skip to main content

Dunia

Kuwait, Qatar, Oman kutuk serangan dron ke atas Arab Saudi, loji nuklear UAE

Dron Arab Saudi
Kementerian Luar Kuwait menegaskan pencerobohan itu melanggar Resolusi 2817 Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan pada Mac lalu bagi melindungi infrastruktur di Teluk, selain menyatakan sokongan terhadap langkah keselamatan Riyadh. -Foto fail/Reuters

KUWAIT CITY: Kerajaan Kuwait dan Qatar mengeluarkan kenyataan berasingan mengutuk keras serangan dron ke atas Arab Saudi yang menurut pegawai keselamatan berpunca dari ruang udara Iraq.

Kementerian Luar Kuwait menegaskan pencerobohan itu melanggar Resolusi 2817 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diluluskan pada Mac lalu bagi melindungi infrastruktur di Teluk, selain menyatakan sokongan terhadap langkah keselamatan Riyadh.

Qatar pula menyifatkan insiden itu sebagai “pencerobohan yang tidak boleh diterima” dan satu pencabulan terhadap kedaulatan wilayah Arab Saudi, menurut laporan Al Jazeera.

Kenyataan itu dibuat selepas pertahanan udara Arab Saudi mengumumkan kejayaan memintas tiga dron sebelum mengenai sasaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Oman turut mengutuk serangan dron berasingan yang mencetuskan kebakaran di Loji Tenaga Nuklear Barakah milik Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kementerian Luar Oman menegaskan penolakan terhadap semua tindakan bermusuhan yang mencetuskan ketegangan, selain menggesa semua pihak mengutamakan dialog.

Oman turut menyeru negara serantau menghormati undang-undang antarabangsa, mengamalkan konsep kejiranan baik serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

Siri serangan dron ini berlaku ketika ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran dilaporkan semakin meningkat.

Must Watch Video