Skip to main content

Dunia

AS laksana ujian testosteron untuk anggota tentera berusia 30 tahun ke atas

U.S. Defense Secretary Pete Hegseth speaks during the Pennsylvania Defense and Innovation Summit at the United States Army War College in Carlisle, Pennsylvania, U.S., July 15, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Menurut Hegseth, langkah melaksanakan saringan kekurangan hormon testosteron terhadap anggota tentera berusia 30 tahun ke atas bertujuan memastikan anggota tentera berada pada tahap kesihatan optimum bagi melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) akan melaksanakan saringan kekurangan hormon testosteron terhadap anggota tentera berusia 30 tahun ke atas sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kesihatan tahunan.

Setiausaha Pertahanan, AS, Pete Hegseth berkata, langkah itu bertujuan memastikan anggota tentera berada pada tahap kesihatan optimum bagi melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Dalam video yang dimuat naik di platform X dengan kapsyen “High-T Department”, Hegseth memaklumkan, anggota yang dikenal pasti mempunyai paras testosteron rendah akan ditawarkan terapi penggantian hormon secara sukarela.

Bagi anggota berusia bawah 30 tahun, ujian berkenaan akan dilaksanakan secara pilihan.

“Kita berhutang kepada anggota tentera penjagaan perubatan terbaik di dunia dan program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab tersebut.

“Menjaga kesihatan jangka panjang bermakna memastikan mereka kekal kuat, berdaya tahan dan berkeupayaan tinggi, bukan sahaja ketika ditugaskan tetapi sepanjang hayat selepas meninggalkan perkhidmatan,” katanya.

Bagaimanapun, Hegseth menegaskan, program itu bukan bertujuan meningkatkan prestasi secara buatan atau untuk pembentukan otot tanpa keperluan perubatan, yang kekal dilarang dalam perkhidmatan tentera.

Jurucakap Pentagon, Sean Parnell berkata, saringan mandatori itu berkuat kuasa serta-merta terhadap semua anggota aktif dan simpanan yang berusia 30 tahun ke atas.

Menurutnya, langkah tersebut akan membantu jabatan itu membangunkan pangkalan data kesihatan yang lebih menyeluruh selain menawarkan terapi testosteron yang bersasar kepada anggota yang memerlukannya.

“Protokol ini membolehkan jabatan mengekalkan pasukan tempur yang sihat, berkeupayaan tinggi dan sentiasa bersedia,” katanya.

Namun, Pentagon tidak memberikan penjelasan sama ada program itu turut membabitkan anggota wanita atau kemungkinan terapi hormon berasaskan estrogen bagi anggota wanita yang memasuki fasa perimenopaus.

Langkah itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan ahli politik AS.

Senator Demokrat dari Illinois dan veteran Perang Iraq, Tammy Duckworth, menggesa agar ujian hormon turut disediakan kepada anggota wanita.

Sementara itu, Ahli Kongres Demokrat dari Pennsylvania serta veteran Tentera Udara AS, Chrissy Houlahan menyifatkan program berkenaan sebagai obsesi terbaharu Hegseth dalam isu budaya politik.

Dalam pada itu, pakar urologi dari Baylor College of Medicine, Dr Mohit Khera, yang pernah mengetuai panel penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) berkaitan penggunaan testosteron dalam tentera, menyokong saringan terhadap lelaki berusia lebih 30 tahun.

Menurutnya, paras testosteron merupakan antara petunjuk penting kesihatan semasa dan masa depan seseorang.

“Ramai lelaki muda mempunyai paras testosteron yang rendah, sekali gus memberi kesan kepada jisim otot dan tahap tenaga mereka, yang boleh menjadi cabaran jika terlibat dalam operasi tempur,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, terapi penggantian hormon tidak sesuai untuk semua individu dan hanya wajar diberikan kepada mereka yang menunjukkan simptom berkaitan.

Katanya, terapi itu boleh membantu meningkatkan jisim otot, mengurangkan pengumpulan lemak, mengurangkan risiko kemurungan serta membantu meningkatkan kepadatan mineral tulang.

Namun, beliau mengingatkan bahawa penggunaan testosteron dalam kalangan lelaki muda boleh menjejaskan kesuburan.

“Jika lelaki muda mengambil testosteron, ia boleh menyebabkan kemandulan. Oleh itu mereka perlu memahami risiko tersebut sebelum memulakan rawatan,” katanya.

Selain itu, terdapat juga risiko peningkatan masalah kardiovaskular yang perlu dipertimbangkan sebelum terapi diberikan.

Pengumuman Hegseth dibuat ketika pentadbiran Presiden Donald Trump dilihat berusaha melonggarkan beberapa sekatan terhadap preskripsi testosteron.

Malah, Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr. sebelum ini mencadangkan penggunaan testosteron sebagai salah satu pendekatan untuk menangani apa yang disebutnya sebagai “krisis kesuburan” di negara itu.

Bulan lalu, FDA turut mencadangkan pelonggaran syarat pelabelan dan preskripsi bagi produk terapi penggantian testosteron. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement