DUNIA
Laluan kereta api West Highland paling indah di dunia akan dinaik taraf 15 juta pound

Laluan West Highland, yang menghubungkan Glasgow ke beberapa lokasi turut merangkumi Viaduct Glenfinnan yang terkenal kerana dipaparkan dalam filem 'Harry Potter.' - Adobe
EDINBURGH: Sebuah laluan kereta api di Scotland yang sering digambarkan sebagai antara paling indah di dunia akan menjalani kerja pembaikan dan naik taraf bernilai 15 juta pound (AS$20.15 juta), lapor PA Media/dpa.
Laluan West Highland, yang menghubungkan Glasgow ke beberapa lokasi termasuk Oban, Fort William dan Mallaig, turut merangkumi Viaduct Glenfinnan yang terkenal kerana dipaparkan dalam filem Harry Potter.
Kerja-kerja tersebut merangkumi pembaikan dan naik taraf penting, termasuk menggantikan kira-kira 10 kilometer landasan dan 9,100 pelapik landasan.
Penumpang dijangka berdepan gangguan apabila laluan itu ditutup antara Crianlarich dan Fort William dari malam Jumaat, 7 Nov hingga pagi Isnin, 17 Nov.Program kejuruteraan itu juga merangkumi penambahbaikan sistem saliran dan baik pulih struktur kritikal.
Pengarah laluan Network Rail Scotland, Ross Moran, berkata: "Ini adalah pelaburan penting untuk masa depan Laluan West Highland, bagi memastikan ia kekal selamat, boleh dipercayai dan berdaya tahan untuk tahun-tahun akan datang.
"Laluan ini amat penting bagi komuniti yang dilaluinya dan untuk ramai pelawat yang ingin merasai pengalaman perjalanan kereta api paling indah di dunia.
"Kami faham akan berlaku gangguan susulan kerja-kerja ini dan berterima kasih kepada penumpang serta komuniti atas kesabaran mereka.
"Naik taraf ini penting untuk memastikan perkhidmatan berjalan lancar di persekitaran yang terpencil dan mencabar."
Kerja-kerja turut merangkumi pembaharuan sebuah jambatan kereta api berhampiran stesen terpencil Corrour yang pernah dipaparkan dalam filem "Trainspotting" pada 1996, termasuk kerja pengurusan tumbuh-tumbuhan serta pembaharuan lima pembetung.
Pengarah penyampaian perkhidmatan ScotRail, Mark Ilderton, berkata: "Laluan West Highland ialah sambungan penting untuk komuniti yang dilaluinya serta pintu masuk utama kepada industri pelancongan Scotland, sebab itulah kerja-kerja penting ini amat diperlukan.
"Ketika kerja dijalankan, keutamaan kami adalah memastikan orang ramai terus dapat bergerak dengan menyediakan pengangkutan pengganti.
"Kami berterima kasih kepada pelanggan atas pemahaman dan kesabaran mereka sementara Network Rail melaksanakan kerja penambahbaikan ini."
Sepanjang kerja dijalankan, Network Rail akan menggunakan stesen Rannoch dan Tulloch sebagai kawasan sementara.
Ia menasihatkan penumpang supaya merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh kerja kejuruteraan dan menyemak dengan pengendali tren mereka untuk pilihan perjalanan alternatif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami