Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kolej kediaman IPTA disasar tampung 70 peratus mahasiswa menjelang 2035

Kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA. -Gambar fail
Kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA. -Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan kemudahan kolej kediaman di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mampu menampung sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal menjelang 2035.

Sasaran itu digariskan menerusi Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di IPTA yang dibangunkan pada November 2024, sebagai langkah jangka panjang menangani keperluan penginapan mahasiswa, termasuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dasar berkenaan dibangunkan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM), selain sesi libat urus bersama pemimpin mahasiswa.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar itu turut disusuli penyediaan garis panduan yang diedarkan kepada semua universiti awam bagi mengenal pasti keperluan semasa kemudahan kolej kediaman.

"Bagi meningkatkan kapasiti penempatan, sebanyak 15 projek pembinaan kolej kediaman telah disiapkan melalui kaedah kerjasama awam-swasta (PPP), dengan kapasiti keseluruhan melibatkan 45,000 pelajar.

"Kerajaan turut merancang pembinaan lima kolej kediaman baharu di universiti awam melalui kaedah sama, yang dijangka menyediakan kapasiti penginapan sehingga 21,000 pelajar.

"Seterusnya kerajaan juga memperuntukkan RM1.1 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA.

"Daripada jumlah berkenaan, hampir RM225 juta turut diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih asrama sedia ada melalui peruntukan pembangunan," jelas Zambry dalam sidang Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.

Zambry berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai usaha berterusan menangani isu kekurangan penempatan pelajar kolej kediaman IPTA khususnya golongan B40.

Bagi 2025 pula, KPT diperuntukkan RM800 juta untuk tujuan penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA, termasuk asrama dan kolej kediaman.

Selain itu, KPT turut bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerusi projek Residensi Mahasiswa Universiti Malaya, yang ketika pengumuman dibuat dijangka memberi manfaat kepada 10,000 pelajar.

Kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi pembangunan Projek Vista Campus, yang akan melibatkan enam universiti.

Must Watch Video

Advertisement