Skip to main content
Advertisement

Malaysia

UPSI terima pengiktirafan MBOR menerusi program keluarga angkat

Md Amin berkata penglibatan keluarga angkat dan penduduk kampung turut memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar antarabangsa untuk memahami adat resam, tradisi serta nilai kehidupan masyarakat tempatan. - Foto UPSI
Md Amin berkata penglibatan keluarga angkat dan penduduk kampung turut memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar antarabangsa untuk memahami adat resam, tradisi serta nilai kehidupan masyarakat tempatan. - Foto UPSI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi penyertaan pelajar antarabangsa terbanyak dalam Program Keluarga Angkat Bakti MADANI Mega 2026.
  • Seramai 82 pelajar antarabangsa bersama 33 keluarga angkat dari Kampung Telaga Nenas dan Kampung Bharu, Manjung, terlibat dalam program diplomasi budaya ini.
  • Program ini memperkukuh hubungan pelajar antarabangsa dengan masyarakat tempatan melalui penghayatan budaya, tradisi dan kehidupan komuniti setempat.

IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) apabila mencatat rekod Most International Students Participating in a Foster Family Programme menerusi Program Bakti MADANI Mega 2026.

Pengiktirafan itu disampaikan Perunding Rekod Kanan MBOR Edwin Yeoh Tiong Chin dan Perunding Rekod Mohamad Hazim Danial Mohamad Nizam kepada Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff pada Malam Kemuncak Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 di Dataran MADANI, Seri Manjung dekat Lumut, semalam.

Majlis penyerahan sijil pengiktirafan itu turut disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Md Amin, program Bakti MADANI Mega 2026 anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi dan UPSI itu merupakan inisiatif diplomasi budaya yang menghimpunkan 82 pelajar antarabangsa bersama 33 keluarga angkat daripada Kampung Telaga Nenas dan Kampung Bharu, Manjung.

Beliau berkata pengiktirafan berkenaan mencerminkan kejayaan usaha memperkukuh hubungan antara pelajar antarabangsa dengan masyarakat tempatan menerusi penghayatan budaya dan kehidupan komuniti setempat.

Md Amin berkata program itu bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar antarabangsa untuk mengenali tradisi masyarakat Malaysia dengan lebih dekat, malah menyemai nilai perpaduan, saling menghormati dan persahabatan merentasi negara.

"Program ini menjadi simbol keharmonian dan ukhuwah sejagat apabila pelajar dari pelbagai negara berpeluang tinggal bersama keluarga angkat, mengenali budaya tempatan serta merasai sendiri kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

"Pendekatan ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar berlangsung di bilik kuliah, sebaliknya turut berkembang melalui interaksi sosial, pengalaman budaya dan hubungan kemanusiaan yang mampu merapatkan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Md Amin berkata penglibatan keluarga angkat dan penduduk kampung turut memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar antarabangsa untuk memahami adat resam, tradisi serta nilai kehidupan masyarakat tempatan.

Beliau berkata antara pengisian program ialah persembahan nasyid oleh pelajar tahfiz, pengenalan kepada upacara tradisional berendoi serta peluang menikmati makanan warisan masyarakat setempat, termasuk penjan ubi kayu dan ubi rebus bersama ikan bilis.

Menurut Md Amin pengalaman berkenaan bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya Melayu kepada peserta, malah membuka ruang kepada pembentukan persahabatan dan persefahaman antara masyarakat berlainan latar belakang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement