VIENTIANE: Laos dan ASEAN kini berganding bahu untuk memulakan usaha untuk memupuk budaya penggunaan plastik secara lebih bertanggungjawab menerusi projek Save the World.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam bidang kuasa Jawatankuasa Kebudayaan dan Maklumat ASEAN (ASEAN-COCI) yang dibiayai oleh Dana Kebudayaan ASEAN, lapor Xinhua memetik akhbar tempatan Pasaxon pada Khamis.

Bercakap pada majlis pelancaran inisiatif itu di Vientiane, Ketua Pengarah Institut Seni Halus Laos Khamsouk Keovongsay berkata projek itu bertujuan untuk menggalakkan, melindungi dan memulihara planet hijau yang selamat dan mampan untuk generasi akan datang, serta meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dan kewajipan menjaga kelestarian alam sekitar yang sihat.

Inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang perlunya usaha untuk melindungi alam sekitar bahkan untuk menyokong Pelan Strategik Kebudayaan dan Kesenian ASEAN 2016-2025 dan Pelan Tindakan Komuniti Sosiobudaya ASEAN 2025.

Khamsouk berkata program itu merupakan peluang yang baik untuk semua peserta berkongsi amalan terbaik, pengetahuan dan pengalaman dalam kepelbagaian budaya setiap negara anggota ASEAN.

-- BERNAMA