MALAYSIA 5 LAOS 1

Skuad B-22 negara melepasi ujian pertama di Kemboja dengan mengetepikan Laos 5-1 dalam Sukan SEA Ke-32, sebentar tadi.

Di sebalik kejayaan membenam seteru serantau itu, skuad kendalian E. Elavarasan tersebut terpaksa meniti permainan berliku berikutan jaringan sendiri Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-21 yang secara tidak langsung memadam gol awalnya pada minit ke-4.

Namun, skuad B-22 negara tidak goyah apabila kembali di hadapan 2-1 menerusi kesilapan Anantaza Siphongphan yang tertampan ke gawang sendiri, tujuh minit kemudian.

Malaysia menyambung rentak hampir serupa selepas rehat dan beberapa pertukaran kembali menggandakan kedudukan buat skuad muda kebangsaan itu.

Kemasukan Syahir Bashah menjadi titik tolak kepada lanjutan tiga gol lagi buat kem Malaysia.

Rembatan pemain tengah dari Selangor di dalam kotak penalti itu menghadiahkan gol ketiga dan hasil daripada percubaannya yang terkena palang jugalah, Najmuddin Akmal Kamal Akmal berkesempatan menolak bola ke gawang yang sudah ternganga.

Syahir sekali lagi menjadi arkitek apabila sepakan sudutnya yang cuba dikeluarkan pemain lawan berakhir ke gawang Laos untuk kedudukan 5-1 dalam masa kecederaan.

Malaysia akan berdepan Thailand untuk perlawanan kedua Kumpulan B -- terdahulu menundukkan Singapura 3-1 -- petang Sabtu ini.

*Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com