BUENOS AIRES: Lapan banduan terbunuh dan 10 lagi cedera dalam dua rusuhan penjara di Ecuador, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik pihak berkuasa penjara SNAI negara itu lewat Khamis.
Mereka yang cedera sedang menerima rawatan perubatan, menurut agensi itu dalam kenyataan.
Empat banduan maut di penjara Cotopaxi No 1 dan empat lagi di pusat tahanan Pichincha No 1, kedua-duanya terletak di tanah tinggi tengah negara Amerika Selatan itu.
Pihak berkuasa tidak memberikan butiran mengenai apa yang mencetuskan pergolakan.
Peserta yang disyaki dalam rusuhan telah dikenal pasti dan akan dipindahkan ke penjara keselamatan maksimum El Encuentro di wilayah pantai Santa Elena, menurut agensi itu.
Menteri Dalam Negeri John Reimberg mencadangkan kemungkinan kaitan antara rusuhan dengan penahanan bekas calon presiden Luisa González, walaupun beliau tidak menawarkan bukti untuk menyokong dakwaan itu.
"Hari ini, pada hari Luisa González...ditahan, dua rusuhan penjara direkodkan di penjara negara ini, dengan kematian. Kebetulan? Biar setiap orang membuat kesimpulan sendiri," tulis Reimberg di X.
Beliau tidak mengulas lanjut berhubung dakwaan itu tetapi memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan membenarkan "jenayah terancang atau sekutu politiknya" mencabar negara.
-- BERNAMA-dpa