Pengundian awal bagi Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) yang dijadual berlangsung pada 3 November depan sudah bermula sejak beberapa minggu lalu, dengan rakyat negara itu bakal memilih anggota Dewan Perwakilan, Senat serta gabenor di beberapa negeri.
Diadakan pada pertengahan tempoh empat tahun pentadbiran seseorang presiden, pilihan raya ini tidak melibatkan pemilihan presiden secara langsung, namun tetap membawa implikasi besar terhadap landskap politik negara itu.
Malah, dua angka utama memperlihatkan betapa pentingnya pilihan raya kali ini.
Lebih 100 juta rakyat Amerika Syarikat dijangka keluar mengundi sekiranya kadar penyertaan menyamai pilihan raya pertengahan penggal 2022.
Sehingga 12 Oktober lalu, perbelanjaan bagi iklan kempen politik yang telah disiarkan pula mencatat rekod AS$3.8 bilion, dengan sebahagian besar tertumpu kepada persaingan sengit merebut kerusi Senat di Texas, Ohio dan Michigan, menurut firma pemantauan iklan politik, AdImpact.
Rekod pembiayaan kempen turut menunjukkan bahawa bilionair Elon Musk sahaja telah membelanjakan kira-kira AS$366 juta bagi menyokong calon Republikan.
Bagaimanapun, pilihan raya pertengahan penggal lazimnya mencatatkan kadar penyertaan lebih rendah berbanding pilihan raya presiden.
Sebagai perbandingan, lebih 155 juta undi direkodkan dalam pilihan raya presiden pada 2024.
Perebutan penguasaan Kongres
Pilihan raya kali ini menjadi medan penting buat Parti Demokrat yang berusaha merampas kembali penguasaan Kongres Amerika Syarikat daripada Parti Republikan.
Ketika ini, Republikan menguasai Dewan Perwakilan dengan 218 kerusi berbanding 214 kerusi Demokrat, selain dua kekosongan dan seorang wakil bebas yang berpihak kepada Republikan.
Demokrat memerlukan pertambahan bersih empat kerusi untuk mengambil alih kawalan dewan tersebut.
Persaingan turut tertumpu kepada Senat yang ketika ini dikuasai Republikan dengan kelebihan 53 kerusi berbanding 47 kerusi Demokrat.
Bagi memperoleh majoriti, Demokrat perlu mencatat pertambahan bersih sekurang-kurangnya empat kerusi.
Sebanyak 10 persaingan kerusi Senat dilihat berpotensi menentukan keseimbangan kuasa, termasuk di Maine, Ohio, North Carolina, Iowa dan Georgia.
Mampukah pilihan raya pertengahan penggal mengubah hala tuju pentadbiran Trump?
Dari sudut sejarah, pilihan raya pertengahan penggal sering menjadi cabaran besar kepada parti yang menguasai Rumah Putih atau Kongres.
Keadaan itu meletakkan Presiden Donald Trump dan Parti Republikan, yang kini menguasai kedua-dua dewan Kongres, dalam kedudukan politik yang mencabar.
Pilihan raya ini juga sering dianggap sebagai peluang kepada pengundi untuk menilai prestasi seseorang presiden sepanjang separuh pertama tempoh pentadbirannya.
Sekiranya keputusan menunjukkan ketidakpuasan hati pengundi, ia berpotensi mendorong Rumah Putih menilai semula pendekatan dasar dan keutamaan pentadbiran.
Pada masa sama, keputusan pilihan raya pertengahan penggal boleh memberikan gambaran awal kepada bakal calon presiden mengenai isu dan pendekatan kempen yang lebih mendapat perhatian pengundi menjelang pilihan raya presiden 2028.
Apa yang ditunjukkan tinjauan pendapat?
Tahap sokongan terhadap prestasi Trump dilaporkan merosot kepada paras terendah, iaitu 32 peratus, menurut tinjauan Reuters/Ipsos pada September lalu.
Isu domestik, khususnya peningkatan harga barangan pengguna dan kos sara hidup, dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan pilihan pengundi.
Tekanan ekonomi itu juga berpotensi menjejaskan sokongan terhadap Republikan.
Dalam masa sama, terdapat petunjuk bahawa penyokong Demokrat menunjukkan semangat yang lebih tinggi untuk keluar mengundi berbanding penyokong Republikan.
Sekiranya corak pengundian awal berterusan, ia boleh memberikan gambaran mengenai kemungkinan peningkatan sokongan kepada Demokrat pada November.
Terdapat juga tanda bahawa sebahagian pengundi Latino yang beralih menyokong Trump pada 2024 mungkin kembali memberikan sokongan kepada Demokrat.
Perubahan itu dikaitkan dengan rasa tidak puas hati terhadap keadaan ekonomi serta beberapa pendekatan penguatkuasaan imigresen pentadbiran Trump.
Namun, kemenangan besar Demokrat masih belum dapat dipastikan.
Republikan masih mempunyai beberapa kelebihan, termasuk perbelanjaan kempen yang lebih tinggi, keraguan sebahagian pengundi terhadap Demokrat serta kebimbangan pengundi sederhana terhadap kemenangan calon berhaluan kiri dalam beberapa pemilihan awal parti.
Sejarah membuktikan pilihan raya pertengahan penggal mampu mengubah kuasa politik
Keputusan pilihan raya pertengahan penggal terdahulu menunjukkan bagaimana pengundian itu mampu membawa perubahan besar kepada keseimbangan kuasa di Washington.
Pada 2010, ketika pentadbiran Presiden Barack Obama, Republikan mencatat kemenangan besar dengan meraih tambahan 63 kerusi Dewan Perwakilan.
Keputusan itu berlaku ketika ekonomi Amerika Syarikat menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan, selain sokongan yang lemah terhadap pembaharuan sistem penjagaan kesihatan yang diperkenalkan Obama.
Demokrat kehilangan majoriti di Dewan Perwakilan, namun berjaya mengekalkan penguasaan Senat meskipun kehilangan enam kerusi.
Obama ketika itu menyifatkan kekalahan partinya sebagai satu tamparan hebat atau 'shellacking'.
Selepas pilihan raya berkenaan, beliau berdepan tuntutan Republikan supaya pengurangan besar dibuat terhadap perbelanjaan kerajaan di luar sektor pertahanan.
Lapan tahun kemudian, keadaan berbeza berlaku apabila Demokrat mencatat peningkatan bersih 40 kerusi Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pertengahan penggal 2018, ketika Trump memegang jawatan presiden bagi penggal pertamanya.
Bagaimanapun, Demokrat kehilangan dua kerusi Senat secara bersih pada pilihan raya sama.
Selain persaingan di peringkat persekutuan, pilihan raya tahun ini turut melibatkan pemilihan gabenor di 36 daripada 50 negeri serta pemilihan anggota badan perundangan negeri di hampir seluruh Amerika Syarikat.
Menurut Ballotpedia, Republikan ketika ini menguasai 55 peratus kerusi badan perundangan negeri di seluruh negara, manakala Demokrat memegang 43.8 peratus.
Siapa bakal menerajui Dewan Perwakilan?
Sekiranya Demokrat berjaya mengambil alih penguasaan Dewan Perwakilan, pemimpin Demokrat di dewan itu, Hakeem Jeffries dari New York, dilihat berpotensi dilantik sebagai Speaker.
Jawatan Speaker Dewan Perwakilan merupakan kedudukan kedua dalam turutan penggantian jawatan presiden selepas naib presiden.
Jika dilantik, Jeffries bakal mencipta sejarah sebagai warga kulit hitam pertama yang memegang jawatan berpengaruh itu.
Beliau juga akan mempunyai kuasa untuk mengarahkan jawatankuasa Dewan Perwakilan menjalankan siasatan terhadap pelbagai tindakan kontroversi yang dikaitkan dengan Trump dan individu dalam lingkaran pentadbirannya.
Jeffries sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa Demokrat mahu menyiasat apa yang disifatkannya sebagai tahap rasuah yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam pentadbiran Trump.
Selain itu, beliau akan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju agenda perundangan Demokrat di Dewan Perwakilan.
Antara keutamaan yang diketengahkan Jeffries adalah usaha mengurangkan kos penjagaan kesihatan, barangan makanan, perumahan, tenaga serta perbelanjaan sara hidup lain.
Sebaliknya, kemenangan Republikan akan memastikan jawatan Speaker kekal dalam penguasaan parti itu.
Jawatan tersebut boleh terus disandang penyandangnya, Mike Johnson, atau tokoh Republikan lain sekiranya beliau dicabar dalam pemilihan kepimpinan.
Agenda Republikan pula dijangka tertumpu kepada pemotongan cukai tambahan, peningkatan besar perbelanjaan pertahanan serta pengurangan lebih mendalam terhadap peruntukan jaringan keselamatan sosial.
Langkah itu akan meneruskan pendekatan dasar Trump yang diperkenalkan menerusi undang-undang One Big Beautiful Bill pada 2025.
Kerusi tumpuan dan kebimbangan campur tangan pilihan raya
Antara persaingan Dewan Perwakilan yang mendapat perhatian ialah usaha wakil Republikan, Mike Lawler mempertahankan kerusinya di New York.
Daerah pilihan raya itu sebelum ini memberikan kemenangan kepada calon Demokrat, Kamala Harris dalam pilihan raya presiden 2024.
Satu lagi kerusi tumpuan ialah kerusi terbuka di daerah yang menjadi medan persaingan sengit di Nebraska, ketika petani dan pemandu lori berdepan peningkatan ketara harga bahan api akibat perang Amerika Syarikat terhadap Iran.
Demokrat turut memberikan perhatian kepada dua kerusi Dewan Perwakilan di Pennsylvania dan satu kerusi di New Jersey yang mahu dirampas daripada Republikan.
Dalam pada itu, persoalan mengenai kemungkinan campur tangan Trump dalam proses pilihan raya turut menjadi perhatian.
Pilihan raya Amerika Syarikat ditadbir secara berasingan oleh setiap daripada 50 negeri, namun timbul kebimbangan sama ada pentadbiran persekutuan akan cuba mempengaruhi proses berkenaan.
Sejak 2020, Trump berulang kali mendakwa berlaku penipuan secara meluas dalam pilihan raya Amerika Syarikat, meskipun tiada bukti yang menyokong dakwaan tersebut.
Sehubungan itu, pegawai pilihan raya negeri serta anggota Demokrat di Kongres dilaporkan sedang membuat persediaan menghadapi kemungkinan cabaran undang-undang terhadap sebarang tindakan pentadbiran Trump untuk campur tangan dalam proses pilihan raya.