Skip to main content

Bisnes

BNM laksana penilaian risiko pada 2027, tumpu sektor bukan kewangan

Marzunisham berkata keberkesanan kerangka AML, CFT dan CPF bukan sahaja bergantung pada undang-undang yang kukuh dan dasar yang mantap, tetapi juga penyeliaan serta penguatkuasaan yang berwibawa. - Gambar fail
Marzunisham berkata keberkesanan kerangka AML, CFT dan CPF bukan sahaja bergantung pada undang-undang yang kukuh dan dasar yang mantap, tetapi juga penyeliaan serta penguatkuasaan yang berwibawa. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan Penilaian Risiko Nasional (NRA) seterusnya pada 2027 bagi menilai dengan lebih mendalam risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang dihadapi sektor Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang ditetapkan (DNFBP).

Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata hasil penilaian itu akan membantu merangka dasar, panduan dan langkah mitigasi yang lebih bersasar mengikut risiko khusus setiap sektor.

“Pandangan praktikal anda amat penting bagi memastikan tindak balas dasar kami kekal berkesan, seimbang dan berasaskan realiti yang dihadapi setiap sektor,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Pematuhan DNFBP 2026 semalam.

Menurut BNM, DNFBP merangkumi kumpulan yang terdiri daripada syarikat induk yang diperbadankan di Malaysia atau entiti undang-undang lain yang menjalankan fungsi kawalan dan penyelarasan terhadap keseluruhan kumpulan, termasuk cawangan dan/atau anak syarikat yang tertakluk kepada dasar serta prosedur peringkat kumpulan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram (AML), pembanterasan pembiayaan keganasan (CFT) dan pembanterasan pembiayaan percambahan senjata pemusnah besar-besaran (CPF).

Marzunisham berkata keberkesanan kerangka AML, CFT dan CPF bukan sahaja bergantung pada undang-undang yang kukuh dan dasar yang mantap, tetapi juga penyeliaan serta penguatkuasaan yang berwibawa.

Beliau berkata BNM memandang serius ketidakpatuhan kerana kelemahan pada mana-mana bahagian sistem boleh menjejaskan integriti keseluruhan kerangka AML/CFT Malaysia.

Tindakan penguatkuasaan bersama oleh agensi kawal selia dan penguat kuasa baru-baru ini turut memperlihatkan kepentingan pematuhan itu.

BNM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) baru-baru ini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap seorang setiausaha syarikat kerana gagal mengemukakan laporan transaksi mencurigakan berkaitan warga asing yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan antarabangsa.

Dalam kes berasingan, sebuah bank pelaburan Labuan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh BNM dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) susulan kelemahan ketara dalam usaha wajar pelanggan. Kelemahan itu menjejaskan keupayaan institusi berkenaan menilai kemungkinan pelanggan terbabit dalam kegiatan haram di luar negara, selain kelewatan mengemukakan laporan transaksi mencurigakan.

“Kes ini mungkin melibatkan sektor dan keadaan yang berbeza, namun mesejnya sama: kelemahan dalam usaha wajar, kewaspadaan dan pelaporan membuka ruang kepada penjenayah untuk beroperasi.

“Perkhidmatan profesional tidak seharusnya menjadi saluran yang membolehkan dana haram kelihatan sah, sama ada secara sengaja atau tidak,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement