BANGKOK: Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Thailand akan menggantikan penggunaan alat pengesan logam pegang tangan (HHMD) dengan pemeriksaan fizikal secara manual (pat-down ) sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatan baharu yang berkuat kuasa 1 Nov ini, lapor The Nation.
Menurut pihak pengurusan lapangan terbang, pemeriksaan fizikal itu akan dilaksanakan sebagai kaedah saringan sekunder selepas penumpang melepasi pemeriksaan utama menggunakan pintu pengesan logam (WTMD) atau pengimbas badan.
Langkah itu diperkenalkan bagi memperkukuh tahap keselamatan penerbangan domestik dan antarabangsa selaras dengan keperluan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) serta piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Susulan pelaksanaan prosedur baharu itu, pihak lapangan terbang memaklumkan proses saringan keselamatan dijangka mengambil masa sedikit lebih lama terutama pada waktu puncak.
Bagaimanapun, pengurusan lapangan terbang memberi jaminan bahawa pemeriksaan fizikal akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta menghormati privasi penumpang.
Bagi mempercepatkan proses pemeriksaan, penumpang dinasihat supaya menanggalkan barangan logam seperti tali pinggang, jam tangan, barang kemas dan telefon bimbit sebelum tiba di pusat saringan keselamatan.
Selain itu, individu yang mempunyai masalah pergerakan, menggunakan peranti perubatan seperti perentak jantung atau wanita hamil diminta memaklumkan keadaan mereka kepada petugas keselamatan sebelum pemeriksaan dijalankan.
Penumpang yang dijadual menggunakan perkhidmatan lapangan terbang berkenaan mulai bulan depan turut dinasihatkan supaya tiba lebih awal bagi mengelakkan kelewatan ketika melalui proses saringan keselamatan.