KUALA LUMPUR: Pemegang amanah memainkan peranan penting dalam melindungi kepentingan pelabur serta memastikan tadbir urus dan pematuhan dalam ekosistem pasaran modal terus terpelihara, namun kewujudannya bukan jaminan pelaburan bebas risiko.
Ketua Pegawai Eksekutif AmanahRaya Trustees Berhad, Zainudin Suhaimi berkata, peranan pemegang amanah merangkumi pemantauan pematuhan terhadap syarat instrumen pelaburan, pengasingan aset serta pelaksanaan mekanisme semak dan imbang secara bebas.
Menurutnya, mekanisme itu penting bagi memastikan pihak berkaitan melaksanakan tanggungjawab masing-masing berdasarkan dokumen transaksi, keperluan tadbir urus serta undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa.
“Apa yang kami lakukan ketika ini lebih kepada menyediakan jaringan perlindungan kepada penerbit bon. Namun, jaringan perlindungan ini tidak menjamin bahawa tiada risiko. Risiko tetap wujud, tetapi melalui mekanisme ini, kami menyediakan perkhidmatan semak dan imbang yang dilaksanakan berdasarkan tadbir urus, rujukan, dokumen transaksi serta undang-undang dan garis panduan berkaitan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengasingan aset merupakan antara mekanisme penting dalam struktur pelaburan. Dalam keadaan tertentu, pemegang amanah boleh menggunakan kuasa yang diperuntukkan berkaitan aset berkenaan bagi melindungi kepentingan pemegang bon sekiranya berlaku pertikaian, tertakluk pada terma dan dokumen transaksi yang berkaitan.
Sehubungan itu, pelabur perlu membuat penilaian sendiri terhadap risiko sesuatu pelaburan berdasarkan maklumat dan pendedahan dalam dokumen berkaitan, termasuk prospektus. Kewujudan pemegang amanah tidak seharusnya dianggap sebagai jaminan pulangan atau perlindungan mutlak daripada kerugian.
Dalam menghadapi perkembangan pasaran dan teknologi kewangan, pemegang amanah juga perlu terus meningkatkan keupayaan serta menyesuaikan diri dengan perubahan instrumen dan keperluan pasaran. Zainudin berkata, ketelusan, akauntabiliti dan keupayaan menyesuaikan diri penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal.